SHAH ALAM 6 MAC: Kerajaan Selangor sudah menyediakan rancangan pembangunan negeri untuk tempoh tiga tahun akan datang melalui program yang dinamakan ‘Agenda Selangor Untuk Rakyat’.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, perancangan ini menumpukan aspek pembangunan negeri dalam usaha meneruskan fokus kerajaan negeri untuk Merakyatkan Ekonomi Selangor.

“Kita juga tidak lama lagi akan melancarkan plan tiga tahun Selangor ‘Agenda Selangor Untuk Rakyat’ yang akan dipersembahkan 26 Mac ini yang merangkumi semua aspek pembangunan Negeri Selangor,” katanya.

Khalid berkata demikian pada Majlis Pelancaran Buku Jingga dan Sambutan Tiga Tahun Pentadbiran Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat, di sini malam tadi. 

“Pakatan Rakyat mengubah paradigma bahawa bukan rakyat yang meminta, tetapi kerajaan yang dipilih akan menyerahkan kepada rakyat yang menjadi tuan kepada pentadbiran. Merakyatkan ekonomi disokong oleh Buku Jingga,” ujar Khalid lagi.


Buku Jingga menyaksikan dasar-dasar yang dibawa oleh gagasan itu dan janji 100 hari pentadbiran sekiranya berjaya menerajui Putrajaya.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top