Klang, 10 Mac 2011 – Lebih 5,000 hadiri Majlis Sambutan 3 Tahun Pentadbiran Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang dianjurkan oleh ADUN Sri Andalas, YB Dr Xavier Jayakumar yang juga merangkap EXCO Kerajaan Negeri Selangor.

Bertempat di Dewan Sukan MPK Taman Sri Andalas, majlis bermula pada pukul 8 malam, namun seawal pukul 7 malam, orang ramai telah mula hadir ke dewan tersebut. 

Majlis sambutan asalnya dirancang untuk diadakan di Taman Rakyat, Taman Seri Andalas, namun disebabkan pihak polis tidak memberikan kelulusan, majlis sambutan diadakan di Dewan Sukan MPK Taman Sri Andalas. Kehadiran lebih 5,000 mengakibatkan trafik sesak di kawasan dewan disebabkan kurangnya petak parkir serta kawasan yang lebih kecil berbanding tempat asal.

Antara tetamu-tetamu kehormat yang hadir adalah Ketua Pembangkang, Dato Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PKR, YB Azmin Ali, Ahli Parlimen Kota Raja, YB Dr Siti Mariah Mahmud dan YDP Pas Kota Raja, EXCO Kerajaan Negeri Selangor, YB Ronnie Liu, Adun Port Dickson, YB Ravi, ADUN Sri Muda, YB Shuhaimi Shafiei, Adun Sekinchan, YB Ng Suee Lim, Ketua AMK Kota Raja, Azmizam Zaman Huri dan Ahli-ahli Majlis dalam kawasan DUN Sri Andalas.


Orang ramai yang hadir ke dewan sebelum ucapan dimulakan dipertontonkan video-video mengenai program-program Kerajaan Negeri serta pencapaian Kerajaan Pakatan Rakyat selama 3 tahun di Negeri Selangor.

Antara yang menarik perhatian orang ramai pada malam itu adalah maklumat pendedahan tentang isu-isu semasa  seperti pendedahan cek RM1.4 juta yang dikeluarkan salah seorang bekas ahli parlimen PKR dan ketidakadilan dalam mendapatkan bahan bukti dalam kes fitnah liwat Dato Seri Anwar Ibrahim.

Bermula pada pukul 8 malam dewan sudah mula dipenuhi orang ramai dan disebabkan kapasiti dewan hanya mampu memuatkan seramai 3,000 orang, layar telah disediakan oleh urusetia ditempat-tempat strategik untuk orang ramai yang berada diluar.

Masa kemuncak merupakan ketika Dato Seri Anwar Ibrahim tiba untuk memberikan ucapan dan amanatnya. Kehadiran beliau bukan sahaja telah dinanti-nantikan malah orang ramai mengambil peluang untuk bersalaman dan bergambar dengan beliau.

Selain siri ucapan oleh pemimpin-pemimpin yang hadir, khemah dan kaunter-kaunter program Kerajaan Negeri seperti Skim TAWAS, MUES dan sebagainya dibuka untuk maklumat dan pendaftaran orang ramai. 

Turut diedar adalah maklumat Buku Jingga, Akhbar Selangor Kini, risalah-risalah program peringkat DUN dan Kerajaan Negeri.

Majlis sambutan berakhir pada pukul 12.30 malam yang diakhiri dengan ucapan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim.

YB Dr Xavier Jayakumar mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang hadir serta penghargaan kepada para petugas yang bertungkus lumus membuat persiapan sepanjang majlis diadakan. 








0 comments:

top