Projek 'River Of Life' Disisih Dari ETP?

SHAH ALAM 16 MAC : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi penjelasan berhubung projek 'River of Life' bagi pembersihan Sungai Klang di bawah Program Transformasi Ekonomi atau ETP.

Khalid melalui satu kenyataan medianya berkata, tuntutan itu dibuat beliau dalam sepucuk surat yang dihantar kepada Datuk Seri Najib Razak semalam.

Menurut Khalid, beliau mahu Najib menjelaskan mengapa tiada sebarang perkara substantif yang dilakukan dalam menjayakan projek berkenaan walaupun mesyuarat telah diadakan dan dipengerusikan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Khalid juga menyatakan kekecewaan apabila timbul beberapa persoalan mengenai ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam proses membuat keputusan berkaitan projek tersebut.


Jelas Khalid, beliau juga turut mempersoalkan pemilihan syarikat MRCB-Ekovest yang didakwa dibuat secara tender terbuka.

“Pelan kewangan dan persetujuan antara kerajaan Persekutuan dengan MRCB-Ekovest berhubung projek River of Life dibuat secara keseluruhan dan jumlah tersebut akan dibayar kepada syarikat itu bagi menyiapkan projek berkenaan juga perlu dijelaskan oleh Datuk Seri (Najib Razak),” katanya.

Jelas Khalid, beliau turut mempersoal kenapa kerajaan Selangor disisihkan daripada projek pembersihan dan pembangunan Sungai Klang.

Najib juga diminta menjawab mengapa Lembaga Urus Air Selangor atau LUAS tidak diberi tanggungjawab terhadap projek pembersihan sungai di kawasan Selangor.

Khalid juga memohon peruntukan RM2 juta untuk disalurkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sepanjang laluan sungai membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Klang.

Khalid juga menjelaskan dalam suratnya itu bahawa kerajaan Selangor memulakan usaha membersihkan Sungai Klang kira-kira setahun lalu sebelum projek River of Life yang dibahagikan kepada tiga aspek iaitu pembersihan, pengindahan dan pembangunan berkenaan diwujudkan oleh PM.

Tambah Khalid, kerajaan Selangor juga telah menyenarai pendek tiga syarikat untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan Sungai Klang.

Oleh sebab itu, beliau menyarankan Perdana Menteri mengadakan mesyuarat dengan tiga syarikat berkenaan bagi melihat teknologi yang dicadangkan oleh syarikat terbabit.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top