Shah Alam, 19 November 2010 - Rapat umum yang bertemakan 'Anwar Pengemudi Zaman' mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Bertempat di Auditorium MBSA, para pimpinan PKR terutamanya dari Selangor memenuhi auditorium tersebut yang boleh menempatkan lebih 1500 orang. Majlis berlangsung dari pukul 8 hingga 11 malam.

Penerangan tentang proses pemilihan dan isu berkaitan diberikan oleh Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution. Dalam penerangan tersebut, beliau menegaskan bahawa pemilihan telah dijalankan sebaik mungkin dan 'kekecohan' yang berlaku semasa pemilihan telah diperbesar-besarkan oleh media pro kerajaan. Beliau juga menyatakan Jawatankuasa Pemilihan Pusat tidak berpihak kepada mana-mana calon seperti yang digembar-gemburkan.

Senator Dr Syed Husin Ali yang merupakan Timbalan Presiden pula menyatakan bahawa pemimpin yang tidak lagi sehaluan dengan matlamat parti yang mengutamakan rakyat boleh keluar jika itu yang mereka mahukan dan parti tidak akan menghalang mereka.


Azmin Ali yang menyatakan sokongan penuh beliau kepada kepimpinan Dato' Seri Anwar meminta supaya setelah proses pemilihan berakhir supaya 'trojan horse' dibersihkan daripada parti dan kesemua ahli parti bersatu semula dalam membawa aspirasi rakyat.

Pada malam ini juga, Azmin Ali telah menyatakan bahawa beliau akan memberi sokongan penuh kepada Tan Sri Dato Seri Khalid Ibrahim bagi mempertahankan negeri Selangor. Sokongan beliau kepada Dato' Menteri Besar secara terang terangan ini merupakan jawapan bagi wayang yang dimainkan oleh media pro kerajaan selama ini yang kononnya terdapat pertelingkahan oleh Azmin Ali dengan Tan Sri Khalid.
Tan Sri Khalid dalam ucapan beliau menekankan aspek setiakawan yang perlu diterapkan oleh semua ahli PKR.

Ucapan yang ditunggu-tunggu kemudiannya diberikan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim. Beliau menyatakan rasa kekecewaannya kepada pemimpin parti yang menggunakan media pihak lawan untuk mengkritik parti.

Dato' Seri Anwar turut menyatakan bahawa parti ini wujud bukan kerana beliau semata-mata tetapi adalah kerana kebangkitan rakyat melawan kezaliman kerajaan yang dipimpini Barisan Nasional. Paling penting diutamakan adalah rakyat dan bukannya kepentingan peribadi individu tertentu.


Majlis berakhir dengan ikrar menyokong penuh kepimpinan Dato' Seri Anwar oleh barisan kepimpinan serta semua yang hadir.

0 comments:

top