Tiada lagi pembalakan haram dikesan

SHAH ALAM, 12 Nov – Tindakan tegas kerajaan negeri membanteras kes pembalakan haram di negeri Selangor menyebabkan aktiviti terbabit tidak berulang dan tiada kes mengenainya dikesan berlaku hingga kini.

Bermula tahun ini kerajaan negeri memutuskan tiada lagi aktiviti pembalakan dibenarkan manakala kuasa kelulusan juga terletak di bawah tanggangjawab Exco berkaitan.

Dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini, Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, bagi mengatasi aktiviti pembalakan haram yang berlaku sebelum ini kerajaan negeri mengambil tindakan tidak membenarkan lagi ia dijalankan di negeri ini.

Beliau berkata, kuasa meluluskan sebarang aktiviti pembalakan juga telah dipindahkan daripada Pengarah Perhutanan kepada Exco yang dipertanggungjawabkan.

“Kerajaan negeri memutuskan tiada lagi pembalakan dibenarkan di negeri Selangor bahkan kuasa Pengarah Perhutanan telah diserahkan kepada Exco, manakala bagi mana-mana pembalakan yang hendak dilaksanakan di Selangor hendaklan mendapat kebenaran daripada Exco,” katanya.

Jelasnya, keputusan kerajaan negeri itu dilihat berkesan kerana setakat ini tiada kes pembalakan haram didapati berlaku di Selangor di sepanjang tahun ini.

“Terdapat tiga kes pembalakan tanpa kebenaran berlaku pada tahun dua ribu sembilan manakala bagi tahun 2010, tiada kes pembalakan haram dikesan,” jelasnya.

Menurutnya, pemantauan berterusan akan dilakukan bagi menangani kes pembalakan tanpa kebenaran itu daripada berlaku di negeri Selangor.

“Kebanyakan pembalakan haram yang dikesan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor melibatkan pemindahan kayu yang berada pada alat pengangkutan, di mana pemilik kenderaan gagal untuk membuktikan pemilikan hasil pembalakan ini dengan dokumen yang sah,” jelasnya lagi.

Yaakob berkata, salah satu daripada tujuan Kerajaan negeri mengadakan moratorium pembalakan ialah untuk mengkaji semula keberkesanan pembalakan secara selektif di Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri Selangor sama ada ia benar-benar dapat menghasilkan darian pokok matang yang mencukupi untuk pusingan tebangan seterusnya dalam jangka masa 30 hingga 55 tahun akan datang.

Bagi hutan bakau pula, katanya, tempoh moratorium akan membolehkan pengurusan hutan jenis ini disusun semula bagi menentukan kawasan mana yang boleh dibuka bagi memenuhi keperluan industri dan kawasan mana perlu dipelihara bagi menjamin kestabilan alam sekitar.

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) pula akan mengkaji kawasan penempatan atau kampung, projek kerajaan dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah dalam HSK bagi tujuan pertimbangan.

Bagi kawasan penerokaan haram, JPNS akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang didapati terlibat dengan aktiviti tanpa kebenaran itu.

Sumber: Selangorkini

0 comments:

top