SHAH ALAM 17 NOV: 25 ribu penduduk Seksyen 24, Shah Alam dijangka menandatangani memorandum untuk diserahkan kepada Yang diPertuan Agong 5 Disember nanti.

Memorandum berkenaan diserahkan bertujuan membantah kenaikan tarif air sebanyak 37 peratus oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) yang dianggap membebankan rakyat di negeri Selangor.

Penyerahan memorandum tersebut juga menjangkakan penyertaan kira-kira 100 ribu rakyat dari seluruh Selangor dan Wilayah Persekutuan akan berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum tersebut selaku tindakbalas terhadap usaha syarikat konsesi air menambah beban rakyat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, syarikat konsesi air Selangor tidak perlu bertindak meningkatkan taraf air memandangkan kadar sedia ada sudah memadai dan terjamin.

Katanya lagi, tarif yang terlalu tinggi tidak akan menjamin keberkesanan pengurusan air selagi keuntungan menjadi keutamaan kroni Umno-Barisan Nasional (BN) seraya menidakkan suara rakyat. 

"Maka kalau kita dapat serahkan balik kepada kerajaan negeri, kita akan menguruskan dengan cara terbaik untuk menjamin keberkesanan lebih tinggi pada kadar yang lebih rendah," kata Khalid kepada TV Selangor selepas menghadiri majlis Korban di Masjid Al-Ehsan, Seksyen 24 pagi tadi.

Dalam pada itu,  Nazir Masjid Al EHsan, Badarudin Dawam yang ditemubual TV selangor berkata, respon daripada masyarakat amat positif seraya ahli jawatankuasa masjid akan meneruskan usaha mengumpul tandatangan daripada penduduk dalam masa yang singkat.

"Dijangkakan, Insyallah kita boleh dapat kalau tidak 100 peratus penduduk di sini saya yakin melalui pengalaman saya, 75 peratus akan dapat di mana penduduk di sini ada 25 ribu di Seksyen 24 ini," kata beliau di perkarangan masjid.

Kerajaan UMNO Barisan Nasional (BN) pimpinan Dr Khir sebelum ini menandatangani perjanjian konsesi air dengan Syabas yang membenarkan syarikat itu menaikkan tarif mengikut tempoh tertentu.

Kini kerajaan negeri Selangor mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM8 bilion berikutan kecuaian bekas Menteri Besar itu dalam rundingan perjanjian konsesi air tersebut.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top