Shah Alam, 19 November 2010 - Rapat umum yang bertemakan 'Anwar Pengemudi Zaman' mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Bertempat di Auditorium MBSA, para pimpinan PKR terutamanya dari Selangor memenuhi auditorium tersebut yang boleh menempatkan lebih 1500 orang. Majlis berlangsung dari pukul 8 hingga 11 malam.
Penerangan tentang proses pemilihan dan isu berkaitan diberikan oleh Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution. Dalam penerangan tersebut, beliau menegaskan bahawa pemilihan telah dijalankan sebaik mungkin dan 'kekecohan' yang berlaku semasa pemilihan telah diperbesar-besarkan oleh media pro kerajaan. Beliau juga menyatakan Jawatankuasa Pemilihan Pusat tidak berpihak kepada mana-mana calon seperti yang digembar-gemburkan.
Senator Dr Syed Husin Ali yang merupakan Timbalan Presiden pula menyatakan bahawa pemimpin yang tidak lagi sehaluan dengan matlamat parti yang mengutamakan rakyat boleh keluar jika itu yang mereka mahukan dan parti tidak akan menghalang mereka.



