Exco Kesihatan, Perkerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Perihatin, Dr. Xavier Jayakumar nafi beliau menyeleweng RM1.67 juta yang diperuntukkan untuk pembangunan sekolah-sekolah Tamil di Selangor.

Sebaliknya beliau memberi jaminan bahawa peruntukan itu dipantau dan diselia dengan rapi oleh kerajaan negeri bagi memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya untuk pendidikan anak-anak Selangor.

"Saya gesa mereka yang membuat tuduhan ini untuk tampil bersama bukti kukuh. Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, saya akan ambil tindakan," kata Xavier.



Sebelum ini, Presiden Persatuan Kebajikan India Malaysia, A. Prakash menuduh Exco Selangor ini menyeleweng kerana menyerahkan peruntukan itu kepada tiga badan bukan kerajaan, Januari tahun ini.

TV Selangor difahamkan bahawa kerajaan negeri melantik tiga badan bukan kerajaan ini untuk menguruskan pembangunan dan penambahbaikan sekolah-sekolah aliran Tamil di Selangor.

Ketika disoal media, Xavier menjelaskan bahawa kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau badan-badan bukan kerajaan ini.

Beliau juga menjelaskan kerajaan negeri melibatkan badan-badan bukan kerajaan yang berkebolehan dan peka kepada permasalahan pendidikan aliran Tamil dalam program lima tahun pembangunan sekolah-sekolah Tamil Selangor.

"Kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa untuk meneliti program pembangunan sekolah-sekolah Tamil seluruh Selangor. Badan bukan kerajaan yang terbabit juga telah memperincikan rancangan penambahbaikan dan kepenggunaan peruntukan yang diberikan mereka," jelasnya.

Xavier juga memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan mewujudkan laman sesawang menyenaraikan sekolah-sekolah Tamil yang mendapat peruntukan itu.

0 comments:

top