Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambilkira tempoh waktu siasatan yang dibenarkan kerajaan negeri Selangor, iaitu antara 8 pagi sehingga 6:30 petang sahaja, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Pekeliling Kerajaan Negeri bertarikh 28 Julai 2009, mencatatkan bahawa sekiranya SPRM berhasrat melakukan siasatan terhadap kakitangan Kerajaan Negeri maka perjumpaan tersebut hanya boleh diadakan dari pukul 8.00 pagi ke pukul 6.30 petang, dan dengan kehadiran seorang peguam yang dilantik oleh Kerajaan Negeri.

"Bantahan berhubung kesahihan kandungan pekeliling tersebut oleh Peguam Negara Tan Sri Gani Patail sebelum ini masih dalam kes mahkamah. Maka dalam hal ini, para pegawai SPRM sewajarnya menghormati pekeliling kerajaan negeri itu yang melindungi hak seluruh kakitangannya," katanya ketika mengulas hal serbuan siasatan pegawai SPRM ke atas penjawat awam Selangor.



Beliau merujuk kes serbuan baru-baru ini yang melibatkan pejabat YB Yaakob Sapari yang membawa kepada penahanan reman pembantu eksekutif beliau, Haji Hussein Ahmad.

"Kerajaan negeri terkejut dengan perkembangan terakhir siasatan tersebut di mana SPRM telah pun menggeledah rumah Haji Hussein tanpa waran geledah yang sah. Kami mahu SPRM Selangor beri penjelesan mengapa perkara boleh berlaku," kata Abdul Khalid.

Tambahan pula, tambah beliau, penyiasatan SPRM itu melibatkan syarikat yang tidak tersenarai dalam pemberian kontrak aktiviti pelombongan pasir.

"Tuduhan SPRM bahawa pemergian seorang pegawai ke China ditanggung oleh kontraktor tertentu juga tidak benar kerana kerajaan negeri yang sebenarnya membiayai kos kunjungan dua hari Haji Hussein itu yang menelan belanja sebanyak RM3,295.

"Justeru itu, kerajaan negeri berhak meragui motif dan integriti siasatan para pegawai SPRM terhadap isu-isu remeh yang berlaku dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor," tambah beliau.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata, para pegawai SPRM sewajarnya menggunakan masa dan tenaga yang sangat berharga untuk menyiasat penyalahgunaan wang rakyat yang bernilai ribuan juta ringgit termasuk RM1.7 juta oleh mantan menteri besar Selangor dan rombongannya semasa melancong ke Disneyland di Amerika Syarikat dan di Perancis.

"Jadi, apakah keutamaan SPRM? Badan ini sepatutnya menentukan keutamaan dan lantas menyiasat isu-isu besar yang melibatkan penyalahgunaan ribuan juta ringgit wang rakyat atau penyalahgunaan kuasa oleh pihak-pihak tertentu yang sudah sekian lama berlaku dalam negeri atau negara Malaysia seluruhnya.

"Hal ini mesti diutamakan SPRM agar tindakan mereka tidak dilihat sebagai alat politik untuk memuaskan hati pihak-pihak tertentu di Putrajaya sahaja. Dalam hal ini, jika SPRM bertindak secara profesional dan bebas, kerajaan negeri dengan senang hati bersedia memberi bantuan yang sewajarnya," tambahnya lagi.

Abdul Khalid berkata, pihaknya berharap beberapa serbuan SPRM di pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri baru-baru ini tidak bertujuan menjatuhkan maruah pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Selangor.

"Kerajaan negeri tidak sedia bertolak ansur ke atas mana-mana pihak yang dengan sengaja cuba mengganggu kelancaran pentadbiran kerajaan negeri dengan pelbagai cubaan untuk memalukan kakitangannya," kata Abdul Khalid.

Sumber: Era Pakatan.com

0 comments:

top