Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat telah menubuhkan Syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) pada Jun 2008 untuk mempelopori industri pasir dan bahan batuan serta mineral lain secara bersepadu bagi menjayakan Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Pada peringkat awal, perlombongan pasir hanya dijalankan di atas tanah milik kerajaan negeri ataupun milik anak syarikat kerajaan negeri. Untuk menyertai tender melombong dan membeli pasir yang dikelolakan oleh KSSB, kontraktor hendaklah mendaftarkan syarikat mereka dengan KSSB.

Pengumuman mengenai kasawan-kawasan baru akan dimaklumkan di dalam laman web rasmi KSSB dari masa ke semasa. Tender-tender juga akan diiklankan di dalam akhbar harian utama. Operator melombong dan syarikat pembeli pasir pula akan dilantik melalui tender terbuka. Tiada rundingan terus yang akan
dipertimbangkan.



Pada peringkat kedua, Kerajaan Negeri Selangor telah membuka permohonan melombong pasir di atas tanah persendirian, namun permohonan perlu dibuat melalui KSSB secara terus. KSSB tidak mempunyai anak syarikat atau melantik mana-mana syarikat atau individu sebagai agen untuk urusan pasir.

Jelaslah bahawa pejabat Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Keusahawanan tiada sebarang kuasa dan tidak terlibat langsung dalam dalam proses melulus atau menolak permohonan permit melombong dan membeli pasir. Semua permohonan samada di atas tanah milik kerajaan negeri mahupun persendirian hanya boleh dilakukan melalui KSSB.

Maka tindakan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia(SPRM) ke atas Hussein Ahmad, Setiausaha Kerja Exco Selangor Yaakob Sapari nyata bermotif politik untuk menjatuhkan imej baik kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Adalah ironis ketika Hussein Ahmad dikenakan tahan reman selama 5 hari untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan rasuah eksport pasir, namun tiada tindakan langsung diambil ke atas bekas Menteri Besar Datuk Khir Toyo berhubung pembinaan banglo mewah yang didakwa bernilai RM24 juta dan perbelanjaan RM1.2 juta untuk melancong ke Disneyland.

Kerajaan Negeri Selangor tidak berhasrat untuk menghalang tugas SPRM dalam membanteras rasuah demi kepentingan rakyat keseluruhan, namun amat membimbangkan sekiranya SPRM dipergunakan sekali lagi untuk memfitnah dan menganiayai individu yang tidak berdosa, sepertimana yang berlaku ke atas mendiang Teoh Beng Hock.

YB Tuan Haji Yaakob bin Sapari
Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam
dan Pembangunan Keusahawanan

0 comments:

top