Exco Dr Xavier Jayakumar tidak gentar dengan laporan polis yang difailkan terhadap beliau berhubung kes penyelewengan dana pembangunan sekolah-sekolah Tamil Selangor.

Bercakap kepada media selepas 2 jam disoal-siasat polis di pejabatnya petang tadi, Xavier berkata beliau telah menunjukkan kerjasama yang sewajarnya dalam membantu siasatan polis.

Beliau yakin bahawa laporan polis ini berbaur politik.

“Ini sering dilakukan terhadap kerajaan negeri selangor. Saya mempertahankannya, ia berunsur politik. Saya tidak tahu ia dari sudut mana atau siapa di belakang laporan itu, saya tahu dia bukan Mr Jaganathan, Dia tidak kelihatan tahu sepenuhnya tentang perkara ini" ujar Xavier.



Exco Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kerajaan Prihatin itu disiasat selama dua jam oleh dua pegawai polis dari Jabatan Jenayah Komersil dari Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya hari ini.

Siasatan ini dibuat selepas pihak polis menerima laporan yang mendakwa Dr Xavier menyeleweng peruntukan RM1.67 juta dari kerajaan negeri untuk pembangunan sekolah-sekolah Tamil Selangor.

Pengerusi Persatuan Ibu-Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Selangor yang hanya mahu dikenali sebagai Jaganathan mendakwa tindakan kerajaan negeri menyalurkan wang kepada tiga badan bukan kerajaan untuk membantu memajukan pendidikan Tamil di Selangor adalah satu bentuk penyelewengan.

“Dia beritahu kami memerikan wang peruntukan kepada tiga NGO tanpa berunding dengannya. Atau lebih tepat tanpa pengetahuan saya, kerajaan negeri beri peruntukan kepada NGO” tambahnya lagi.

TV Selangor sebelum ini difahamkan bahawa kerajaan negeri melantik tiga badan bukan kerajaan inisebelum ini untuk menguruskan pembangunan dan penambahbaikan sekolah-sekolah aliran Tamil di Selangor.

Ketika disoal media, Xavier menjelaskan bahawa kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau badan-badan bukan kerajaan ini.

Beliau juga menjelaskan kerajaan negeri melibatkan badan-badan bukan kerajaan yang berkebolehan dan peka kepada permasalahan pendidikan aliran Tamil dalam program lima tahun pembangunan sekolah-sekolah Tamil Selangor.

Ditanya apakah Xavier akan membuat laporan balas berhubung laporan polis berkenaan, Xavier berkata beliau akan membiarkan polis menyiasat terlebih dahulu namun sekiranya ditentukan memang tidak ada kes, barulah beliau akan meminta peguamnya mengambil tindakan perundangan.

“Kami akan tunggu polis buat siasatan terlebih dahulu. Tadi pegawai polis memberitahu saya, ia mungkin akan mengambil masa seminggu atau lebih dan mereka akan menyerahkan laporan rasmi untuk membuka fail siasatan atau mereka akan gugur kes ini jika tidak ada asas atau dakwaan dan kemudian saya akan merujuk peguam" katanya.

Tiga badan bukan kerajaan yang telah dilantik oleh kerajaan negeri bagi Program Pendidikan sekolah-sekolah Tamil 2009 ialah CHILD, EWRF dan Tamil Foundation.

Sumber: TVSelangor

0 comments:

top