Lima hakim Mahkamah Persekutuan sekarang sedang bersidang bagi mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permonan beliau untuk mengenepikan peguam Tan Sri Muhammad Syafee Abdullah sebagai ketua pendakwa dalam rayuan kes liwatnya.

Anwar memfailkan permohonan menangguhkan pelaksanaan dan notis rayuan kepada Pendaftar Mahkamah Persekutuan pagi ini.

Pendengaran dengan notis yang singkat itu ditetapkan selepas peguam Karpal Singh dan Sivarara Rasiah menemui Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria di pejabatnya petang ini.

Perbicaraan ke atas rayuan pendakwaan kes liwat ditetapkan selama dua hari mulai esok.

Isnin lepas, tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Balia Yusof Wahi memutuskan peguam tidak boleh diputuskan tidak layak dan tidak baik hanya kerana lembaga disiplin mendapati dirinya bersalah atas salah laku.

Katanya, walaupun Lembaga Disiplin Peguam dan Peguamcara mendapati dirinya bersalah kerana salah laku, menjadi tugas pendakwaraya menentukan samasa Shafee layak atau orang yang sesuai untuk mengetuai pasukannya dalam kes sodomi itu.

Kata Balia, permohonan Anwar remeh, menyusah dan menyalahgunakan proses mahkamah untuk melengah-lengahkan rayuan itu.

Balia juga menolak untuk memberikan penangguhan sehingga rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Anwar memfailkan permohonan kali ketiga bagi mengenepikan Shafee dengan alasan beliau tidak layak dan sesuai kerana didenda RM5,000 atas kesalahan salah laku oleh Lembaga Disiplin Majlis Peguam.

Beliau juga mendakwa, ia akan mengakibatkan pertembungan kepentingan kerana pegawai penyiasat Jude Blacious Pereira didapati tidak boleh dipercayai dalam penyiasatan Suhakam sebelum ini.

Anwar pada awalnya mencabar kesahihan perlantikan Shafee di bawah Kanun Prosedur Jenayah tetapi ia ditolak Mahkamah Persekutuan pada 20 November tahun lalu.

Permohonan keduanya adalah berdasarkan akuan bersumpah bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim, juga ditolak Mahkamah Persekutuan pada 11 Februari.

Pada 9 Januari 2012, Anwar 66, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada dakwaan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium Bukit Damansara pada 2008.

Sumber: TheMalaysianInsider

0 comments:

top