SHAH ALAM, 27 MAC: Kerajaan Negeri mempunyai pendekatan tersendiri untuk berdepan dengan sikap Kerajaan Pusat yang kurang memberi penekanan terhadap pembangunan sukan di Selangor.

Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata Kerajaan Negeri memilih untuk tidak bersikap konfrontasi dalam situasi berkenaan bagi memastikan tidak ada pihak yang terbabit terjejas terutama guru.

Katanya, setakat ini belum ada sebarang program pembangunan sukan dilakukan secara langsung dengan pihak sekolah.
 
“Kita mengambil sikap ini bagi menjaga semua pihak. Pada masa sama, program pembangunan sukan terus giat dijalankan.

“Kita juga tidak mahu apabila Kerajaan Negeri bersama sekolah terbabit secara langsung, guru pula dijadikan mangsa oleh Kerajaan Pusat.

“Mungkin mereka dikenakan tindakan disiplin, surat tunjuk sebab atau ditukarkan hanya kerana bekerjasama dengan Kerajaan Negeri,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, baru-baru ini.

Perkara itu dibangkit Yunus apabila wujudnya halangan yang  tidak membolehkan Kerajaan Negeri terbabit secara langusung bersama sekolah dalam pembangunan sukan.

“Contohnya, Sekolah Sukan Seksyen 11 sebelum Pakatan Rakyat ambil alih Kerajaan Negeri, Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor dan Exco Sukan ketika itu boleh masuk. Tetapi, kini secara tidak rasminya kita tidak dibenarkan masuk.

“Namun, Kerajaan Negeri melalui MSN masih lagi berhubung dan memberi bantuan keperluan pembangunan sukan di sekolah terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengariskan beberapa komitmen sebagai jalan keluar dalam usaha memastikan program pembangunan sukan di negeri itu terus terlaksana.

“Saya cuba mencari jalan yang terbaik untuk anjurkan kejohanan sukan. Tahun lepas, saya berjaya anjurkan kejohanan bola sepak bawah 16 tahun, yang mana ia tidak dipertandingkan di peringkat sekolah.

“Sebaliknya, masih membabitkan pelajar apabila mereka menyertai kejohanan terbabit ketika cuti sekolah. Dengan cara itu, kita masih mempunyai ruang mencungkil bakat pelajar yang berpotensi besar dalam sukan bola sepak,” katanya.

Sumber: SelangorKu

0 comments:

top