PETALING JAYA 28 MAC: Tindakan kerajaan negeri Sarawak menghalang beberapa pimpinan KEADILAN memasuki negeri itu merupakan tindakan terdesak menjelang Pilihan Raya Kecil DUN Balingian, kata ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin.

“Ini satu tindakan terdesak BN di Sarawak kerana mereka takut kepada pemimpin PKR untuk berkempen dan mengekang rakyat bergerak secara bebas dalam negara demokrasi.

“Ini hak kita. Mengapa mereka menafikan hak ini? Mereka menggunakan kuasa negeri yang tidak bertempat. Perbuatan ini memberi kesan kepada keputusan pilihan raya nanti,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya hari ini.

Semalam, Zuraida dihalang memasuki Sarawak sebaik tiba di Lapangan Terbang Sibu pada jam 2.30 petang dan diminta meninggalkan negeri itu pada petang hari yang sama.

Beliau merupakan pemimpin keempat dikenakan tindakan berkenaan selepas Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dan Naib Presiden, Tian Chua.

Sementara itu, bercakap dengan Suara Keadilan, Zuraida bimbang keadaan itu akan berterusan pada kempen Pilihan Raya Negeri di Sarawak dan menjejaskan kempen Pakatan.

“Saya khuatir jika perkara ini berterusan, ia akan menjejaskan pergerakan untuk masa akan datang seperti untuk pilihan raya negeri yang akan diadakan pada tahun 2015,” katanya.

Sumber: KeadilanDaily

0 comments:

top