SHAH ALAM 18 DIS : Kerajaan Umno-BN diminta segera menyelesaikan masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri melibatkan masyarakat India di negara ini dan tidak berdolak dalik berhubung isu berkenaan.

In kerana menurutnya Naib Presiden PKR, N Surendran, umum mengetahui perkara itu memang berlaku dengan beratus ribu masyarakat India terutamanya di Semenanjung dinafikan hak memiliki dokumen pengenalan diri biarpun mereka adalah rakyat yang lahir dan menetap di negara ini.

Beliau berkata, cabaran supaya dibuktikan terdapat kira-kira 300,000 masyarakat India tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, hanya akan dibuat seandainya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunjukkan komitmen bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Saya nak Najib dan kerajaan terangkan dulu kepada rakyat mengapa selepas 55 tahun merdeka masih ada begitu ramai rakyat negara kita yang dinafikan kad pengenalan biru walaupun mereka rakyat. Jikalau mereka (kerajaan Umno-BN) dapat memberikan jawapan yang munasabah, saya akan menunjukkan bukti mengenai kes 300,000 ini.

“Kita menuntut supaya kerajaan menyelesaikan masalah ini secepat mungkin dan jangan keluarkan cabaran-cabaran yang kosong dan tidak bermakna ini,” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Surendran mengulas kenyataan dibuat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk SK Devamany yang sedia meletakkan jawatan jika pakatan pembangkang dapat membuktikan dakwaan 300,000 masyarakat India di negara ini tiada dokumen pengenalan diri seperti dilaporkan Bernama.

Kenyataan tersebut disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab daripada seorang Timbalan Menteri kerana sepatutnya tiada seorangpun rakyat yang lahir dan hidup di negara ini dinafikan hak memiliki dokumen itu.

“Saya lihat tiada apa-apa komitmen oleh kerajaan temasuk Perdana Menteri dan MIC untuk menyelesaikan masalah yang amat kritikal ini. Kita tahu beratus ribu rakyat menghadapi masalah ini,” katanya lagi.

Pada 12 Disember lalu, Surendran dan beberapa pemimpin PKR mengetuai Himpunan Duduk Bantah di Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya yang dihadiri lebih 300 orang bagi menuntut Kerajaan Pusat menyelesaikan masalah masyarakat India yang dinafi hak sebagai warganegara.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top