SHAH ALAM 16 DIS : Exco Kerajaan Negeri, Dr. Xavier Jayakumar dijangka akan menyerahkan lebih seribu kes ketiadaan dokumen pengenalan diri rakyat Selangor ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Selasa ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sebelum ini menganjurkan program mengesan mereka yang layak mendapat dokumen kewarganegaraan Malaysia tetapi diabaikan KDN dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Ini bukan kes baru dan ia merupakan satu permasalahan yang serius dan tidak patut berlaku setelah negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun.

“Ianya mencabul hak rakyat yang lahir dan telah bergenerasi tinggal di Malaysia malah menyebabkan mereka berisiko tercicir dalam pendidikan.

“Tanpa pendidikan, mereka tidak akan maju dan seterusnya dikhuatiri gagal menaik taraf hidup diri dan keluarga,” jelas beliau yang memegang portfolio Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin.

Menyedari kepentingan tersebut, beliau menambah, permasalahan dokumen kewarganegaraan itu merupakan antara agenda utama Pakatan Rakyat sekiranya berjaya mengambil alih Putrajaya.

“Sekurang-kurangnya terdapat 300,000 kes seumpama ini di seluruh negara.

“Demi masa depan rakyat, kita (Pakatan Rakyat) akan selesaikan masalah ini agar mereka yang berhak juga mendapat peluang sepertimana rakyat Malaysia yang lain,” tegasnya lagi.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Hari Anugerah Pelajar Cemerlang UPSR di Midlands Convention Centre di Seksyen 7 di sini pagi tadi.

Seramai 312 pelajar daripada 44 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh Selangor yang mendapat keputusan 7 A dalam ujian UPSR lalu menerima hadiah berupa sijil dan wang tunai RM 100 setiap seorang.

Dalam majlis sama, Dr. Xavier Jayakumar yang juga Adun Sri Andalas turut berkesempatan menyampaikan sumbangan sebanyak RM 20,000 kepada Persatuan Sivik India bagi menjayakan penganjuran perlawanan bola sepak antara SJKT Selangor.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top