Pakatan Rakyat kini berada di penghujung lima tahun pentadbiran negeri Selangor dan sepanjang tempoh itu merupakan masa yang mencabar dan menarik. Sudahkah Pakatan Rakyat Negeri Selangor menyelesaikan kerja-kerja yang sepatutnya dilakukan? Sudah tentunya tidak kerana ini hanyalah satu permulaan. Namun, kami telah berjaya menunjukkan kepada rakyat kaedah alternatif yang lebih baik untuk mentadbir sesebuah kerajaan.

Perubahan yang telah dilakukan pula telah membawa kesan yang membanggakan bukan sahaja kepada negeri Selangor malah kesannya juga dapat dirasai di seluruh negara. Pakatan Rakyat Negeri Selangor telah membelanjakan sebanyak RM600 juta untuk kebajikan rakyat melalui program-program MES (Merakyatkan Ekonomi Selangor). 

Kini kami telah bersedia untuk membina jambatan ketiga menghubungkan bandar Klang yang merupakan janji Barisan Nasional pada tahun 2008. Janji tersebut tidak dikotakan oleh mereka dengan alasan kalah pada pilihanraya yang lepas. Mereka telah lupa bahawa kita semua adalah rakyat yang membayar cukai. Sebanyak 24 peratus daripada RM150 bilion kesemua cukai adalah dari negeri Selangor. Kita tidak dapat semula bahagian seperti yang sepatutnya. Walaupun begitu, dengan usaha sendiri, kita telah berjaya untuk meningkatkan rizab simpanan kerajaan negeri kepada RM2.3 bilion.

Untuk kawasan DUN Seri Andalas, projek mitigasi banjir telah pun dimulakan dan kami akan menggunakan peruntukan RM1.4 juta dari kerajaan negeri untuk mengatasi banjir. Ini tidak termasuk tasik seluas 25 ekar yang dilengkapi kemudahan rekreasi yang telahpun diluluskan kerajaan negeri yang akan mengambil masa selama setahun untuk disiapkan. Ini bukanlah suatu tugas yang mudah kerana melibatkan urusan simpanan air banjir serta pelan pengurangan banjir dan sepatutnya telah dilakukan bertahun-tahun yang lepas. Sekarang kita akan memulakannya.

Untuk golongan belia, berbagai-bagai program telah dirangka dan akan dilaksanakan pada masa hadapan. Antara program yang telah dilaksanakan bagi menanam budaya sihat dikalangan golongan belia adalah pembinaan gelanggang futsal di Sungai Kandis, Sungai Jati, Taman Sentosa, tapak Rakan Muda Taman Seri Andalas, tapak permainan Shahbandar, Kampung Jawa dan Taman Maznah. Kini, kami sedang merancang bersama MBSA, MPK, JKR dan JPS untuk pelan keseluruhan bagi kesemua kawasan yang akan melibatkan pemilikan tanah dan peluasan secara besar-besaran.

Tadbir urus kerajaan yang baik dan perubahan yang telah kami lakukan membawa kesan yang mendalam untuk mengendalikan kerajaan negeri dan kesemua ini dilakukan hanya dalam tempoh 4 tahun lebih. Saya akui kami tidak mampu menyelesaikan segala masalah hanya dalam tempoh satu penggal, tetapi kami telah memulakan perubahan.

Kini, kami sedang mencabar Barisan Nasional dalam isu-isu seperti pendidikan percuma, pembatalan pinjaman PTPTN, menurunkan harga kereta, membina rumah mampu milik, mempertabatkan bahasa ibunda, penjagaan alam sekitar dan program-program yang mengutamakan pemuda-pemudi yang juga adalah masa hadapan kita.

Bagaimana untuk kita maju kehadapan? Adakah dengan memperbaiki sistem sedia ada dan menghadapi cabaran yang mendatang sahaja? Kita perlu tanamkan kesedaran bahawa kekayaan negara ini harus dikongsi bersama. Tidak ada satu pun kaum yang sepatutnya dipinggirkan dan tidak sepatutnya ada golongan yang mengangkat diri sebagai “mereka yang dipilih dan dihantar oleh tuhan untuk menyelamatkan negara kita”. Negara ini dibina atas dasar perkongsian kuasa dan kesemua kaum haruslah mendapat layanan yang adil saksama. 

Kita memerlukan perubahan yang drastik untuk menjadikan negara ini lebih terbuka dan demokratik. Media seharusnya lebih bebas, polis yang lebih adil, peguam negara yang menjawab persoalan yang dikemukakan di parlimen, Suruhanjaya Pilihanraya yang lebih bebas dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah yang bekerja demi kepentingan orang ramai.

Oleh itu rakan-rakan sekalian, masanya telah tiba dan sokongan yang telah anda semua berikan amatlah besar maknanya. Lihat sahaja perubahan yang telah dilakukan, bukan sahaja di negeri Selangor malah gegarannya dapat dirasai di seluruh negara.  Pandangan anda telah kami dengari dan kini masanya untuk kita bertindak.

Ini memerlukan usaha bersepadu dan kami memerlukan bantuan anda untuk membawa perubahan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih membangun. Jadi, marilah kita bergandingan tangan dan mara kehadapan untuk masa hadapan yang lebih baik. Saya ucapkan terima kasih atas sokongan dan memandang kehadapan penglibatan anda semua untuk bersama-sama berjuang menjadikan masa hadapan negara ini lebih baik untuk generasi akan datang.

Selamat Menyambut Hari Krismas dan Tahun Baru 2013. Semoga tahun baru ini dilimpahkan segala yang terbaik untuk anda semua.


YB DR XAVIER JAYAKUMAR
EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR
ADUN SERI ANDALAS

0 comments:

top