KLANG 06 NOV : Kerajaan Negeri Selangor akan membuka dua lagi loji yang tidak beroperasi di Ampang dalam usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran air yang terawat kepada pengguna Lembah Klang.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata kedua-dua loji itu merupakan aset Kerajaan Negeri tetapi telah diabaikan seperti Loji Bukit Jelutong.

Katanya, pihaknya sudah meminta Timbalan Pengarah UPEN, Nor Azmi Diron untuk menyelidik potensi loji-loji itu.

“Sekiranya kedua-dua loji itu berpontensi dan benar sudah tidak digunakan, saya akan berbincang perkara ini dengan lebih lanjut dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

“Kita juga akan menggunakan mana-mana aset-aset ini untuk bangunkan semula loji ini dengan menggunakan kaedah teknologi membran atau kaedah konservatif,” katanya ketika ditemui TvSelangor.

Baru-baru ini, Loji Perawatan Air (LPA) di Bukit Jelutong yang ditutup sejak 17 tahun lalu akan dibuka semula untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat.

Kerajaan Negeri kini dalam proses menjalankan kajian rintis bagi membolehkan loji tersebut diguna semula dan dijangka siap Jun tahun depan.

“Dalam masa kajian yang akan dilakukan, kita akan membuka tender kepada mana-mana kontraktor yang berminat.

“Sekarang kita beri tempoh dua bulan kepada syarikat jurutera perunding untuk melaksanakan kajian menyeluruh untuk mengemukakan kertas kajian yang lengkap kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Sumber: Selangorku

1 comments:

Anonymous said...

I heard my friend told me that khalid ibrahim intends to treat NRW with membrane technology. Nonsense! non revenue water is water lost through burst and broken dilapidated and asbestos pipes aging 40 years old or more..these pipes should be replaced by new and more durable pipes but khalid did not allow banks to give Syabas loans to replace old pipes, the main cause of NRW. So the main culprit of water consumers is khalid, who is the same person behind the Langat 2 WTP debacle which is 600 days behind time

top