Ops Kolah Bagi Perangi Nyamuk Aedes

SHAH ALAM 3 NOV : Dalam usaha memerangi pembiakan nyamuk Aedes, Kerajaan Negeri memperuntukkan ‘Direct Grant’ sebanyak RM 5,000 setiap tahun kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengadakan “Ops Kolah”.

Dalam satu Majlis Perasmian Ops Kolah peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pagi tadi, Exco Kesihatan, Dr. Xavier Jayakumar berkata usaha itu penting untuk mendidik masyarakat membersihkan kolah mandi mereka agar tidak menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes.

“Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing maka saya yakin dan percaya kita mampu mengatasi dan mencegah kes demam denggi daripada berleluasa,” ujar Xavier dalam majlis yang diadakan di Flat PKNS Blok 68, Seksyen 24 di sini.

Selain itu, Xavier turut menekankan agar semua pihak memberikan kerjasama dalam usaha membanteras tempat pembiakan di sekitar kawasan-kawasan sekolah yang mempunyai potensi menjadi sarang pembiakan Aedes.

“Saya harap pihak pendidikan dapat bekerjasama dengan pihak sekolah termasuk pihak PIBG (Persatuan Ibu Bapa Guru) untuk memastikan kawasan sekolah bersih dan bebas pembiakan Aedes.

“Jika didapati terdapat jentik-jentik, kita di peringkat PBT boleh mengambil tindakan menutup sekolah tersebut,” tegas Xavier.

Beliau yang ditemani Timbalan Datuk Bandar, Mohtar Hani dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon 8, Hisham Shariman turut berkesempatan melawat dua buah rumah selain meninjau kawasan persekitaran flat tersebut.

Dalam tahun ini, sebanyak 7,359 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negeri Selangor dan 939 kes daripada jumlah tersebut berlaku di kawasan MBSA.

Sehingga 27 Oktober lalu, MBSA mengenal pasti empat kawasan ‘Hot Spot’ pembiakan nyamuk Aedes iaitu di Taman Karrupiah (Padang Jawa), Stesyen Mumbar Tentera Darat Kem Sungai Buloh (Seksyen U19), Pangsapuri Damai (Seksyen U4) dan Asrama SMK Sek 18 (Seksyen 18B).

Sumber: Selangorku

0 comments:

top