SHAH ALAM, 2 NOV :  Bagi merancakkan sektor pelaburan di antara dua negara, Ukraine hari ini menyatakan kesediannya untuk mempromosikan Selangor kepada pelabur Ukraine yang berminat untuk terlibat dalam industri penghasilan produk berasaskan minyak sawit.

Perkara ini dinyatakan delegasi Wilayah Kyiv, Ukraine, kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika mengadakan kunjungan hormat di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini, hari ini.

Dalam pertemuan kira-kira setengah jam itu, Timbalan Ketua Pentadbir Ukraine, Yevgen A Golovin berkata, sektor pembuatan khususnya bidang penghasilan produk-produk berasaskan minyak sawit antara sektor yang perlu diterokai pelabur Ukraine.

“Bekalan minyak sawit yang mudah diperoleh di samping kemudahan infrastruktur serta jaringan pengangkutan darat, udara dan laut yang bertaraf antarabangsa menjadikan Negeri Selangor sebagai lokasi paling berdaya saing untuk pelabur asing,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya anak-anak syarikat milik Kerajaan Selangor menjalinkan kerja sama dengan syarikat Ukraine dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kebudayaan.

“Negeri Selangor mudah memperoleh bekalan minyak sawit pada harga yang munasabah kerana Malaysia memiliki ladang kelapa sawit yang luas.
“Kemudahan ini amat sesuai untuk pelabur-pelabur Ukraine terlibat dalam sektor pembuatan berasaskan minyak sawit,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar berkata, selain sektor perkilangan, Selangor juga sesuai untuk pelaburan di dalam sektor perkhidmatan seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Turut serta dalam pertemuan itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong dan Ketua Pegawai Eksekutif SSIC, Hassan Azhari Idris.

Delegasi berkenaan turut dibawa melawat I-City selain diraikan dalam satu majlis makan malam anjuran SSIC di shah Alam Convention Center (SACC).

Sumber: Selangorku

0 comments:

top