Pakatan Harapan Rakyat Dilancarkan

PETALING JAYA, 3 NOV : Perang psikologi dua kuasa besar politik negara mula ‘dilancarkan’ apabila PKR menjadi parti politik pertama memperkenalkan poster dan bilboard kempen Piliharanraya Umum ke-13 (PRU) hari ini.

Dengan tema “Pakatan Harapan Rakyat”, majlis pelancaran disempurnakan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail di perkarangan Ibu Pejabat PKR.

Untuk fasa pertama, sebanyak 10 bilboard diperkenalkan dan fasa seterusnya akan diperkenalkan sehingga menjelang PRU-13.

Kempen ini juga akan disebarkan menggunakan media elektronik termasuk laman sosial dan blog.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan segala urusan termasuk kelulusan dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan diuruskan oleh pasukan khas.

Beliau menambah, setakat ini sebanyak 13 tajuk risalah telah disebarkan sejak empat bulan lalu.

Menurut Wan Azizah, PR lebih selesa untuk bertempur dengan kempen politik sihat dan idea berbanding menghamburkan kata nista serta mainan fitnah seperti yang diamalkan Umno-BN.

“Sebab itu PRU-13 kita tidak mahu dirosakkan dengan cacian. Kita mahu mewarnai kempen PRU ini dengan idea, harapan, wajah-wajah rakyat, semangat dan kelakinan Malaysia bakal dan InsyaAllah akan mendapat lebih kebaikan,” katanya di Ibu Pejabat PKR.

Ujar Wan Azizah, sejak tahun 2008, PR telah membawa banyak isu rakyat seperti penurunan harga minyak, pembinaan rumah mampu milik dan skim kesihatan wanita yang selama ini cuba dipadamkan oleh Umno-BN.

Turut hadir, beberapa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR antaranya Pengarah Strategi, Rafizi Ramli, Pengarah Komunikasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, Pengerusi Perhubungan PKR Pahang, Fuziah Salleh dan Exco Selangor, Rodziah Ismail.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top