PUCHONG, 7 DIS: Setelah mengambil alih kesemua urusan kutipan sampah dan pembersihan di Selangor daripada Syarikat Alam Flora, kerajaan Selangor hari ini melakar sejarah dengan kejayaannya menangani isu sampah secara efisyen dan mesra alam.

Pagi tadi satu upacara Pelancaran Taman Rekreasi Worldwide Landfill Park Air Hitam telah diadakan dengan dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Khalid dalam ucapannya melahirkan rasa bangga dengan kejayaan anak syarikat kerajaan negeri, Worlwide Holdings Sdn Bhd yang telah berjaya menyiapkan kerja-kerja penutupan Tapak Pelupusan Sanitari Air Hitam (AHSL) yang telah ditutup operasinya secara rasmi pada 31 Disember 2006.

Ia kemudian disusuli dengan kerja-kerja penutupan yang dilakukan dengan selamat menggunakan teknik 'safe closure'.

Kawasan yang sebelum ini menjadi kawasan yang ingin dijauhi penduduk kini sudah bertukar menjadi kawasan rekreasi terbesar di Puchong dengan kemudahan-kemudahan riadah seperti trek jogging, gazebou dan kawasan permainan kanak-kanak.

"Kerajaan memandang serius isu sampah di Selangor dan menyediakan peruntukan kewangan yang besar bagi menangani isu ini. Jaminan ini diberi sebagai tanda komitmen untuk memastikan rakyat tinggal dalam suasana keselesaan.

"Kita bukan sahaja telah berjaya menyelesaikan masalah pelupusan sampah tetapi dapat memperbaiki kawasan tersebut sehingga menjadi tempat rekreasi," ujar Khalid.

Selain itu, Worldwide Holdings dengan kerjasama TNB juga berjaya menghasilkan sumber tenaga elektrik melalui gas metana yang dihasilkan daripada sisa pepejal di tapak tersebut dengan penjanaan gas adalah sebanyak 2MW yang berupaya memberi tenaga kepada 2000 buah rumah.

Malah, projek ini juga merupakan perintis kepada 'engineered landfill' di Malaysia yang berjaya ditutup secara selamat dan yang pertama juga dijadikan taman disamping menghasilkan gas. Kejayaan ini melayakkan taman ini mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Record.

Khalid juga memberi harapan agar budaya pelupusan sanitari yang cekap dan berkesan ini akan dijadikan contoh bukan sahaja bagi membuka peluang explorasi industri hijau bagi syarikat-syarikat pemaju malah usaha ini turut menawarkan kehidupan yang lebih sihat dan baik kepada rakyat.

"Bagi menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri yang bersih dan selesa, budaya menguruskan sampah perlu dipertingkatkan. Maka, keperluan bagi mendidik masyarakat tentang pengurusan sampah perlu digiatkan," pesan Khalid dalam ucapannya.

Beliau kemudiannya dibawa melawat ke Loji Janakuasa 2 Megawat dan juga puncak Taman Rekreasi Worlwide Landfills Park Air Hitam.

Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top