SHAH ALAM, 29 DIS: Selangor memiliki beberapa rizab tanah simpanan yang boleh dibangunkan untuk pembinaan sekolah baru di negeri ini.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kemiskinan, Dr Xavier Jayakumar berkata, beberapa pemaju besar di negeri ini memiliki kapisiti tanah yang besar yang boleh dibangunkan Jabatan Pendidikan sebagai kawasan sekolah pada bila-bila masa.

"Walaupun kita telah menyediakan beberapa tanah untuk pembinaan sekolah di Selangor, malangnya ianya dibiarkan dan pembinaan sekolah kita tidak nampak. Oleh itu kita membuat keputusan di mana tanah-tanah sekolah yang dikemukakan pemaju kepada kerajaan negeri dalam pelan-pelan mereka untuk kelulusan daripada perancang bandar negeri, tanah tanah itu akan disimpan dibawah pejabat tanah dan galian.

"Bila Jabatan Pendidikan bersedia untuk membina mana-mana sekolah, kita akan beritahu mereka tanah yang telah disiapkan untuk sekolah," katanya.

Jelas beliau, kerajaan negeri juga sedang merancang pembinaan beberapa sekolah tamil baru seperti Sekolah Tamil Coalfields di Ijok memandangkan terdapat pembangunan pesat di kawasan antara Kuala Lumpur dan Kepong. Dijangkakan pembinaan akan dimulakan pada tahun hadapan dan siap dalam tempoh satu tahun setengah.

"Sekarang kita perlu lebih sekolah tamil di dalam bandar. Sudah penuh di seluruh Shah Alam. Kita perlu sekolah-sekolah baru. Kerajaan negeri sudah memberikan tanah kepada tiga tempat dan dimaklumkan kepada Jabatan Pendidikan untuk pembinaan. Satu di Sentosa (3 ekar), Desa Mentari (1 ½ Ekar) sementara di PJS 1 yang telah diberikan sejak zaman Barisan Nasional.

"Sekarang kita telah buat semakan, dan tiga jenis sekolah akan dibina di kawasan itu iaitu sekolah kebangsaan, sekolah cina yang sudah dibina, dan sekolah tamil.

"Malangnya dalam tiga tahun setengah ini walaupun kita telah menghubungi pihak Jabatan Pendidikan namun sampai sekarang kita tidak nampak perancangan oleh kerajaan pusat untuk membina sekolah," katanya.

Kesan daripada ini katanya, pihak PIBG sekolah terpaksa mengutip dana untuk membina kelas tambahan dan ini menjadi beban besar kepada mereka.

Sementara itu, Xavier berharap agar projek pembinaan SRJK(T) Ladang Midlands, Seksyen 7, Shah Alam dapat disiapkan lebih awal pada Februari 2012 memandangkan jangkaan asal projek ini bakal siap pada Mac 2012.

"Saya teruja melihat perkembangngan projek ini memandangkan sebelum ini khususnya sekolah tamil, tidak ada sekolah tamil dibina dengan kelengkapan sepenuhnya. Saya diberitahu tarikh akhir yang telah diberikan kepada MBSA ialah pertengahan bulan Mac.

"Tapi saya minta pihak kontraktor untuk mempercepatkan proses penyerahan pada bulan Februari sebab kita ada perancangan untuk mengadakan perasmian pembukaan yang akan dilakukan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim," katanya.

Sekolah ini memiliki 24 buah kelas, satu dewan besar yang boleh memuatkan 130 buah meja, makmal sains, bilik guru dan beberapa infrastruktur lain.

Beliau menambah, kawasan permainan akan dinaiktaraf di kawasan ini memandangkan pembinanan sekolah ini menggunakan sedikit ruang kawasan yang menempatkan tapak permainan untuk penduduk setempat.

Kerajaan negeri memberikan peruntukan pembinaan sekolah sebanyak RM3 juta sementara pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah turut mengadakan kutipan dana untuk menampung perbelanjaan.

Ujar beliau lagi, tanah ini juga akan diwartakan kepada nama sekolah setelah ianya siap sepenuhnya.







Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top