TANJONG KARANG, 16 DIS: Kecemerlangan Selangor di bawah teraju Pakatan Rakyat (Pakatan) diteruskan apabila berjaya menarik minat pelabur yang memberangsangkan untuk tahun 2011.
Sehingga Ogos tahun ini, Selangor berjaya mencatatkan jumlah pelaburan berjumlah RM6 billion.
Perkara ini diumumkan sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menyampaikan amanat di hadapan 250 orang penduduk setempat bersempena Rapat Rakyat bersama rakyat Tanjong Karang.
Menurut Abdul Khalid, prinsip telus, amanah dan berkeupayaan yang diamalkan selama ini menjadi pemangkin untuk pimpinan negeri melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
"Kita juga buktikan pengurusan kita telah menarik ramai pelabur untuk melabur dalam Negeri Selangor.
"Dalam tahun ini sehingga Ogos, lebih daripada RM6 Billion dilaburkan di dalam negeri Selangor.
"Jadi angka-angka ini menunjukkan bahawa pentadbiran kita diterima oleh pelabur-pelabur,"katanya.
Mengulas lanjut, satu ketika dahulu Selangor yang ditadbir oleh Barisan Nasional selama 50 tahun sebelum Pakatan mengambilalih tampuk pemerintahan berada di tahap yang tidak sepatutnya memandangkan negeri ini mempunyai hasil yang banyak.
Namun, beliau berjaya menangkis segala tomahan yang dilemparkan pihak pembangkang negeri yang selama ini hanya berani memperlekeh kreadibiliti pentadbiran Pakatan.
"Saya tahu Umno-BN cakap dia (Pakatan) tidak boleh. Kita sudah urus negeri 50 tahun mcm mane dia nk urus. Pejabat pun dia tidak tahu.
"Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada Umno/BN bukan kerana apa, kerana dia tidak menjaga negeri dengan baik, maka nampak saya lebih pandai daripada dia(Umno-BN),"katanya lagi.
Sementara itu, Pakar Perundangan yang juga tokoh akademik negara, Prof. Dr Abdul Aziz Bari berkata, Pakatan bukan sahaja perlu berkuasa di peringkat negeri malah di Putrajaya.
Ini memandangkan negara kini seolah-olah tidak ada undang-undang ditambah dengan kegagalan kerajaan menangani beberapa persoalan termasuk memansuhkan Akta Tahanan Tanpa Bicara (ISA) dimana terbaru 13 orang ditahan dibawah akta tersebut.
"Begitu juga dengan persoalan penarikan semula undang-undang darurat, tertinggal satu. Entah sengaja entah tidak saya tidak tahu.
"Seperti yang disebut oleh YB Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), bahawa kita masih ada satu lagi pengisytiharan darurat yang belum ditarik balik yakni Pengisytiharan Darurat tahun 1964.
"Sebab itu, Karpal Singh adalah benar dimana kita masih berkonfontasi dengan Indonesia, sebab pengisytiharan darurat yang pertama itu, adalah bertujuan untuk menangani darurat dengan Indonesia dan itu masih belum ditarik balik," katanya.
Katanya pengisytiharan darurat yang ditarik balik adalah tahun 1966 (krisis politik Sarawak), tahun 1969 (13 Mei) 1977 (Krisis Politik Kelantan).
Beliau memaklumkan pengisytiharan darurat ini juga yang digunakan oleh kerajaan untuk memansuhkan Pilihanraya Kerajaan Tempatan.
Aziz Bari turut menyatakan sokongan terhadap tindakan kerajaan negeri untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada pilihanraya umum akan datang walaupun Parlimen dibubarkan.
Mengulas lanjut katanya, situasi ini bukan kerana takut sebaliknya merupakan merupakan satu budaya politik yang baru supaya pilihanraya itu tidak dijadikan sebagai Ambush Election (Pilihanraya Serang Hendap).
"Saya sangat bersetuju dan menyokong dengan ura-ura beliau untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor meskipun Parlimen dibubarkan," katanya.
Beliau juga bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini yang menyebut mandat diberikan rakyat adalah lima tahun supaya segala janji dan perancangan yang diatur dapat dilaksanakan dan dipenuhi.
Beliau turut berharap agar negara dapat menyaksikan dimana dewan itu dibubarkan dengan sendirinya setelah genap lima tahun mengikut perkiraan daripada hari pertama dewan itu bersidang.
Sekadar memberikan pendapat, Aziz Bari memberitahu masa terbaik untuk diadakan pilihanraya di Selangor adalah pada tahun keempat.
Sumber: TVSNEWS
0 comments:
Post a Comment