MB: PBT Perlu Jadi Penggerak Golongan Belia

PETALING JAYA 18 DIS: Pihak berkuasa tempatan yang terdiri dari Majlis Perbandaran dan Majlis Bandaraya di seluruh Selangor perlu menjadi tenaga penggerak ke arah membentuk dan membantu golongan belia.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata walaupun bukan mudah untuk mengumpul dan mendekati golongan belia yang mempunyai pelbagai kehendak dan citarasa namun usaha harus digerakkan secara bersepadu.

"Belia perlu di arah kepada hala tuju sesuai dengan inspirasi negeri yang mahukan golongan belia terlibat dalam setiap bidang.

"Selangor telah memperuntukkan RM60 juta dalam belanjawan negeri 2012 untuk pembangunan belia termasuk pembinaan usahan muda, kemudahan sukan dan riadah serta pendidikan." kata beliau ketika menyampaikan ucapan di Majlis Makan Malam dan Anugerah Penggerak Belia Tempatan (PeBT), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 2011 malam tadi.

Menurut Khalid lagi, semua majlis daerah perlu bersiap sedia dalam mengatur pelbagai program untuk golongan belia memandangkan Selangor mempunyai golongan belia paling ramai.

"Kita perlu menerima hakikat bahawa terdapat ramai belia dari luar yang datang bermastautin di Selangor dan seluruh majlis daerah perlu melengkapkan pasarana untuk golongan ini." ujar beliau.

Sehubungan itu Khalid memuji usaha MBPJ yang telah memulakan usaha mendekati golongan belia dengan pelbagai usaha.

Di Majlis tersebut Khalid telah menyampaikan hadiah kepada 11 penerima dari seluruh zon MBPJ dalam pelbagai kategori.

0 comments:

top