KUALA LUMPUR 29 Apr - Ahli Dewan Negara Pakatan Rakyat, Senator S Ramakrishnan dijangka akan membentangkan usul tergempar berhubung kematian kes pelajar berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis pada hari Isnin ini.
Menurutnya, tujuan usul berkenaan adalah bagi menyegerakan kes tersebut supaya disiasat secara profesional dan telus serta mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Beliau berkata, kejadian tersebut dengan jelas membuktikan anggota polis tidak cekap menjalankan tanggungjawab mereka bila mana kejadian seumpama ini masih lagi berlaku sehingga kini.
Sambil merujuk kepada contoh kes-kes sebelum ini, Ramakrishnan juga mengecam janji manis yang dilbuat pihak kerajaan termasuk Menteri berkenaan untuk menjalankan siasatan terperinci.
Namun sehingga kini banyak kes tidak mendapat perhatian malah tiada tindakan susulan dibuat.
"Berapa banyak kes orang awam mati ditembak polis sebelum ini dan sehingga sekarang kejadian seperti ini masih berterusan sehingga melibatkan remaja berusia 15 tahun ditembak pada awal pagi Isnin, 26 April lalu.
"Ini bukan kejadian pertama kali berlaku. Sudah banyak kali dan sehingga sekarang tiada apa-apa siasatan. Ini menunjukkan polis tidak cekap. Sepatutnya sebaik sahaja selepas tembakan berlaku, siasatan segera hendaklah dijalankan.
"Kita mengambil contoh pada 30 Oktober tahun lalu, polis menembak satu lagi mangsa yang tidak bersalah, Norizan Salleh semasa beliau berada di lebuhraya Gombak.
Tetapi sampai sekarang siasatan ke atas kejadian terbabit masih tidak lagi dijalankan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen ketika menghadiri sidang Dewan Negara hari ini.
Ramakrishnan juga membuat perbandingan mengenai statistik kesilapan tembakan yang dilepaskan polis di Malaysia berdasarkan laporan Suaram berbanding negara luar.
"Di United Kingdom, sekali sahaja kesilapan tembakan polis berlaku pada tahun lalu tetapi Malaysia mencatatkan sebanyak 44 kes pada 2008 sementara 39 kes (sehingga kini) pada tahun ini dan angka ini dijangka akan bertambah pada masa akan datang," ujar beliau lagi.
Beliau juga berkata, tindakan polis menembak remaja berkenaan sebelum membuat pengesahan amat tidak wajar sekaligus merendahkan kredibiliti institusi keselamatan di negara ini.
"Polis tidak boleh melepaskan tembakan kecuali mereka sudah benar-benar pasti dan mempunyai bukti bahawa mangsa benar-benar mendatangkan ancaman. Tetapi polis tetap meneruskan tembakan walaupun mangsa belum disahkan merupakan seorang penjenayah.
"Berdasarkan kepada laporan polis, saksi rakan Aminurasyid, pada waktu kejadian beliau dan mangsa pulang dari restoran di seksyen 7 awal pagi Isnin lalu.
"Mereka dikejar oleh kenderaan polis MPV yang memotong kereta mereka dan kemudian anggota polis menembak ke arah mereka dan dipaksa berhenti di bahu jalan.
"Rakan Aminurasyid pula memberitahu beliau menyerah diri kepada polis dan kemudiannya diterajang dan ditumbuk oleh anggota-anggota polis terbabit. Namun beliau berjaya melepaskan diri dan terus menuju pulang.
"Kejadian ini betul-betul membuktikan polis menggunakan kuasa mereka dengan sewenang-wenangnya sebelum siasatan dibuat. Sepatutnya, polis hendaklah menjalankan tugasan mereka dengan profesional dan kemahiran sebelum tindakan sebegini dilakukan," katanya.
Aminulrasyid ditembak mati oleh peronda polis kira-kira jam 2 pagi di Jalan Tarian 11/2 Shah Alam, sekitar 100 meter dari rumah mangsa.
Mangsa dikatakan sedang memandu Proton Iswara berdaftar di bawah nombor BET 5023 ketika kejadian.
Rakan sebayanya yang doipercayai anak seorang anggota polis turut berada di sebelah mangsa ketika kejadian.
Polis juga mendakwa juvana tersebut adalah kumpulan geng samun dan memiliki sebuah parang di dalam kereta yang dinaikinya.
Mangsa dilaporkan mati ditembak dengan beberapa das tembakan dari arah belakang.
Sumber: Suara Keadilan
0 comments:
Post a Comment