H1N1: Lagi Kematian Libatkan Lelaki 40 Tahun




Satu lagi laporan kematian berkaitan virus influenza A(H1N1) diterima Kementerian Kesihatan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata bagaimanapun penyebab kematian lelaki berusia 40 tahun itu bukan jangkitan H1N1 secara langsung. "Ini menjadikan jumlah terkumpul kematian H1N1 sehingga hari ini kekal 81 orang," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini. 
Beliau berkata lelaki itu mempunyai faktor risiko tekanan darah tinggi dan terlibat dengan kemalangan kenderaan seminggu sebelum dimasukkan ke wad. Dr Mohd Ismail berkata lelaki terbabit dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 26 April lepas selepas mengalami masalah pernafasan, demam, batuk serta pertuturan yang tidak difahami dan dia meninggal dunia pada hari yang sama. 

Beliau berkata walaupun kes itu disahkan positif jangkitan virus H1N1 melalui ujian PCR, lelaki itu juga mengalami jangkitan bakteria dalam darah dan kematian adalah akibat komplikasi "septic shock with multi-organs failure". 

Mengenai jumlah kes terkumpul, Dr Mohd Ismail berkata sehingga 5.30 petang semalam sejumlah 71 kes disahkan influeza A(H1N1) dilaporkan menjadikan jumlah terkumpul kes itu kini ialah 13,673. Sehingga pukul 8 pagi ini, sebanyak enam laporan kejadian kluster ILI dilaporkan di empat negeri iaitu Sarawak, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur. 

Beliau berkata jumlah kes ILI yang masih dirawat di wad di seluruh negara ialah 587 kes dan daripada jumlah itu 70 kes (11.9 peratus) disahkan positif influenza A (H1N1). Tujuh kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lima daripadanya mempunyai faktor-faktor risiko, katanya. 

Majoriti kematian yang dikaitkan dengan jangkitan virus H1N1 melibatkan mereka yang mempunyai faktor-faktor risiko seperti asma, diabetes, penyakit buah pinggang, penyakit jantung, penyakit paru-paru, ibu mengandung dan kegemukan. "Oleh itu orang ramai yang mempunyai faktor risiko dinasihat supaya segera mendapatkan pelalian vaksin H1N1 di 104 fasiliti kementerian di seluruh negara," katanya. 

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web kementerian di alamat http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline kementerian di talian 03-88810200/0300.

Sumber: Malaysiakini

0 comments:

top