Perutusan Tahun Baru dari YB Dr Xavier Jayakumar


Tahun 2009 merupakan tahun yang memberangsangkan bagi Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat. Ini dapat dilihat dengan pelbagai program kemasyarakan dan pembangunan demi kepentingan peningkatan taraf hidup rakyat negeri Selangor diadakan dengan jayanya.

Melalui Kerajaan Negeri, program-program Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor telah djalankan dengan giatnya. Antaranya Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Hadiah Anak Masuk Universiti, Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang, Skim Mesra Usia Emas, Bantuan Peralatan Blueprint kepada golongan peniaga dan usahawan kecil sederhana dan program membantu mengurangkan masalah pengangguran seperti yang diwujudkan Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC).



Program kebajikan dan kemasyarakatan ini melibatkan banyak aktiviti turun padang melihat sendiri keadaan rakyat. Dengan ini, saya serta rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat dapat memahami keperluan rakyat dan seterusnya mendapatkan rakyat bantuan serta tindakan susulan yang diperlukan.

Tahun ini juga memperlihatkan usaha Kerajaan Negeri menangani isu kesihatan dengan begitu serius terutamanya dalam pengagihan topeng muka (face mask) untuk setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam mencegah penularan Influenza A H1N1 yang menjadi kebimbangan bukan sahaja rakyat di Selangor malah seluruh dunia.

Sebagai Pengerusi Tetap Jawatankuasa Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor juga adalah menjadi tanggungjawab saya dalam memastikan rakyat dari golongan pekerja ladang, kurang upaya dan miskin mendapat pembelaan yang sepatutnya.

Hasil daripada usaha dan tekanan yang berterusan oleh Pakatan Rakyat terhadap Kerajaan Persekutuan juga telah mendatangkan manfaat kepada rakyat akhirnya. Pelbagai bantuan dan juga permohonan yang sebelum ini tidak kunjung tiba kini telah berhasil dan Pakatan Rakyat akan terus memberi tekanan dan cabaran kepada Kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat.

Pakatan Rakyat bukan sahaja menekankan aspek taraf hidup rakyat malah telah berusaha meningkatkan kualiti perhubungan masyarakat majmuk yang berbilang bangsa serta agama di negeri Selangor ini. Bantuan telah diberikan kepada rumah-rumah ibadat, nasib setiap bangsa dibela, program-program mesra rakyat dan kunjung-mengunjungi seperti program rumah terbuka telah diadakan dan mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.

Pada tahun ini juga, program pembangunan telah dijalankan dengan giatnya seperti pembangunan di sekitar sungai Klang dan pada tahun hadapan, Fasa 2 implementasi program pembangunan bagi rakyat negeri Selangor akan diteruskan dengan lebih giat.

Sepertimana tahun ini, pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat akan meneruskan program-program sedia ada serta menambah program-program yang dapat meningkatkan lagi taraf hidup rakyat.

Bersempena dengan tahun baru, tahun 2010 ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua rakyat negeri Selangor atas sokongan yang diberikan kepada saya dan Pakatan Rakyat. Saya berharap rakyat Selangor akan terus memberikan sokongan padu kepada saya dan Pakatan Rakyat dalam membina masa depan negeri Selangor yang lebih baik.

Semoga pada tahun baru ini, setiap rakyat mendapat kesejahteraan serta kualiti kehidupan yang lebih baik.

Bagi mereka yang memandu keluar kawasan sempena cuti ini saya berharap mereka berhati-hati di jalanraya dan semoga selamat sampai ke destinasi masing-masing.

"Selamat menyambut tahun baru, tahun 2010"

YB Dr Xavier Jayakumar
Pengerusi Tetap Jawatankuasa Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor

0 comments:

top