Sejumlah RM800,000 peruntukan berupa barangan keperluan sekolah disediakan kepada anak-anak yatim dan kurang berkemampuan sempena promosi kembali ke sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr A Xavier Jayakumar berkata, peruntukan itu diberikan kepada semua penerima yang terdiri daripada pelajar berusia 7 tahun hingga 13 tahun seluruh Selangor.

Menurutnya, sebanyak 40 ribu beg sekolah bernilai lebih RM600,000 disediakan selain keperluan sekolah
lain seperti pakaian sekolah, peralatan tulis, kasut dan stoking bagi membantu meringankan bebanan pelajar sekolah yang terdiri daripada anak yatim dan tidak berkemampuan.

“Di setiap kawasan akan diadakan empat program termasuk program seumpama ini dan antaranya pada 16 Disember ini akan beri sumbangan kepada murid-murid Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan masing-masing menerima RM90 dan RM120 setiap seorang," katanya ketika hadir pada majlis pembelian barangan keperluan sekolah 47 pelajar miskin daripada Sungai Kandis, Desa Latania, Bukit Badak dan Telok Menegon di Pasaraya Mydin, semalam.

Pada 16 Disember juga akan diadakan program sama di Dewan Sri Andalas dan Xavier menegaskan bahawa selewat-lewatnya 2 Januari 2010 seramai 150 murid yang menetap di Pangsapuri Randa di Desa Latania akan turut menerima bantuan sama.

“Menurutnya, bantuan akan terus diberikan pada 29 Disember ini dengan menyampaikan 700 beg kepada semua penerima bagi setiap 56 DUN di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) supaya dapat diselaraskan kepada penerima zon masing-masing.”
Pada program petang itu juga, semua penerima barangan diperuntuk sejumlah RM100 setiap penerima menjadikan jumlah keseluruhan RM4,500.

Xavier berharap melalui keprihatinan kerajaan negeri seumpama ini akan dapat membantu meringankan beban ibu bapa untuk memenuhi keperluan anak-anak kembali ke sekolah.

Sumber: TVSelangor

0 comments:

top