Klang, 6 Januari 2009 - Rumah Terbuka Krismas Negeri Selangor yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor bersama Majlis Perbandaran Klang di sambut dengan meriah. Padang Sultan Suleiman di Kota Raja yang menjadi tempat sambutan diadakan telah dibanjiri dengan orang ramai sejak petang lagi.

Rumah terbuka Krismas peringkat negeri Selangor yang julung-julung kali diadakan di Klang sejak kerajaan negeri ditadbir oleh Pakatan Rakyat dirasmikan oleh YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Dato' Menteri Besar Negeri Selangor.

Mereka yang hadir menjayakan sambutan tersebut terdiri daripada EXCO Kerajaan Negeri, para ADUN, pegawai-pegawai kerajaan, organisasi-organisasi bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai yang memeriahkan suasana.



Dalam ucapannya, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan rakyat tentang pentingnya mengenali budaya, adat resam dan sensitiviti rakyat berlainan agama dengan baik. Dengan itu dapatlah menguatkan lagi semangat perpaduan dan bertolak ansur yang menjadi tulang belakang persefahaman dikalangan rakyat. Beliau juga menyatakan kesyukurannya bahawa rakyat masih lagi dikurniakan dengan kebaikan dan yakin bahawa Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat akan membawa perubahan serta masa depan yang lebih baik bagi rakyatnya.

Bersempena dengan sambutan ini, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak komuniti Kristian terutamanya organisasi-organisasi bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa memberi kerjasama dalam membangunkan negeri Selangor.

YB Dr Xavier Jayakumar yang berusaha menjadikan majlis sambutan ini meriah mengucapkan tahniah serta penghargaan kepada semua pihak yang turut bersama-sama menjayakan majlis tersebut.

Beliau berharap dengan adanya majlis rumah terbuka yang diadakan seperti ini dapat mengeratkan lagi perpaduan anatara kaum serta menjalin hubungan yang lebih mesra diantara pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dengan rakyat jelata.

Kebanyakan hadirin menyatakan rasa gembira dengan majlis sambutan yang diadakan serta berharap pihak kerajaan negeri akan terus mengadakan majlis sambutan seperti ini pada masa akan datang.

0 comments:

top