SHAH ALAM, 11 Disember - Acara Larian Rakyat sempena sambutan keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-64 pagi tadi berlangsung dengan meriah.

Seawal 6.30 pagi lagi, orang ramai yang menyertai acara larian ini berkumpul di I-City, seksyen 7 Shah Alam dan peserta dilepaskan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada jam 7.30 pagi.

Penyertaan seramai 1500 peserta itu mempertandingkan lapan kategori acara antaranya, 10 kilometer, tujuh
kilometer, lima kilometer, dan tiga kilometer mengikut jantina dan umur.

Turut dipertandingkan acara Larian Ria sejauh tiga kilometer yang merupakan penyertaan secara berkeluarga.

Program anjuran kerajaan negeri dan kerjasama Tourism Selangor dan Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) Berhad ini turut menyaksikan penyertaan dari 11 peserta Orang Kurang Upaya (OKU).

Tan Sri Khalid ketika ditemui pemberita berharap acara seumpama ini diteruskan pada masa depan dan ia sekaligus dapat menyemarakkan semangat warga Selangor dalam aktiviti kesihatan.

“Tujuannya ialah mengingatkan masyarakat di Shah Alam  terutamanya di Selangor supaya mereka mesti bergerak cergas untuk mengenal erti tahun 2010″,katanya.
Bersempena juga dengan keputeraan baginda Sultan hari ini, beliau yang mewakili exco kerajaan negeri turut berjanji untuk melaksanakan tugas sebaik mungkin di Selangor.

“Bagi pihak Exco kerajaan negeri kita mengucapkan selamat menyambut kelahiran Tuanku dan bersama dengan rakyat merafak sembah kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan mendoakan supaya Duli Yang Maha Mulia Tuanku sihat walafiat dan negeri Selangor akan jadi terus makmur dan menjadi sejahtera”,katanya.

Sementara itu,Pengurus Besar Tourism Selangor Noorul Ashikin Mohd Din berkata hasil kutipan penyertaan Larian Rakyat hari ini akan disalurkan ke Tabung Bantuan Bencana Alam serta badan-badan memerlukan.

“Hasil kutipan hari ini kita akan donatekan kepada 4 badan ibu tunggal,anak-anak yatim,abuse women dan lagi satu pantas.Pantas itu adalah anak syarikat kerajaan negeri yang menyalurkan bantuan kemanusiaan”,katanya.

Hadir sama pada program itu exco kerajaan negeri, Teresa Kok, Yaakob Sapari, Ronnie Liu, Dr Xavier Jayakumar, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mazalan Md Noor, dan ahli-ahli dewan undangan negeri.

Sumber: Selangorkini

0 comments:

top