Apakah latar belakang sejarah pembangunan Seksyen 19? Mengapakah sebuah kuil Hindu dibina di kawasan itu?



Pada asalnya, kawasan Seksyen 19 adalah kawasan ladang getah. Pada ketika itu ladang tersebut adalah Estet Sungai Renggam. Pada tahun 1984, Perbandaran Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah diberi kebenaran untuk membangunkan kawasan ini sebagai kawasan perumahan. Ketika perancangan pembangunan ini dibuat, Kuil Sri Mariamman yang kini beralamat di Jalan Ladung 19/2B telah pun wujud.

Dalam pelan perancangannya di Seksyen 19, PKNS telah merancang untuk memindahkan kuil tersebut ke satu lokasi yang lain. Atas sebab itu, semasa membina dan menjual rumah di Seksyen 19, PKNS tidak menunjukkan kuil tersebut di dalam pelan mereka. Sebaliknya yang ditunjukkan dalam pelan mereka adalah rumah teres dua tingkat.

Sehubungan itu, pembinaan rumah-rumah telah dilakukan tanpa mengambil kira kewujudan kuil tersebut. Akibat daripada kegagalan pihak PKNS dan Kerajaan Negeri Barisan Nasional untuk menyelesaikan masalah perpindahan, kedudukan Kuil Sri Mariamman berada di tengah-tengah kawasan perumahan yang majoriti penduduk beragama Islam.


Mengapa lokasi kuil Seksyen 19 ini harus dipindahkan?

Disebabkan lokasi kuil yang tidak kondusif, penduduk kawasan dan para pengunjung kuil tersebut mengalami pelbagai kesesakan. Ini telah mendesak penduduk membuat permintaan supaya kuil dipindahkan ke tempat yang lebih sesuai.

Penduduk Seksyen 19 terpaksa bersabar selama 26 tahun menunggu tindakan kerajaan Negeri Barisan Nasional untuk menyelesaikan masalah mereka. Pada mulanya Kerajaan BN ketika itu mencadangkan Seksyen 18 dimana satu tapak Kompleks Rumah Ibadat Bukan Islam telah diluluskan secara berkelompok di Seksyen itu. namun Jawatankuasa Kuil terpaksa menolak cadangan ini. Ini adalah kerana mengikut kepercayaan penganut agama Hindu, Kuil-kuil tidak boleh dibina terlalu dekat di antara satu sama lain.

Setelah itu, Seksyen 22 dicadangkan sebagai lokasi pemindahan yang baru, namun sekali lagi Jawatankuasa Kuil terpaksa menolak kerana lokasi di Seksyen 22 itu terletak di luar lingkungan komuniti dan kemudahan infrastruktur yang tidak sempurna.

Setelah Kerajaan Pakatan Rakyat menerajui kerajaan negeri Selangor, persetujuan telah tercapai di antara Jawatankuasa Kuil, PKNS, MBSA serta kerajaan negeri untuk memindahkan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23. Pada mulanya, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah mengesyorkan lokasi baru tapak kuil ini dipindahkan ke Jalan Saham 23/3, namun kerana tapak ini agak berdekatan dengan kawasan rekreasi kanak-kanak, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah mengambil langkah seterusnya dengan menganjakkan lokasi pemindahan ke Jalan 23/6 yang terletak lebih 200 meter daripada kawasan perumahan Seksyen 23, tapak ini sesuai menampung keperluan kuil bagi penduduk Seksyen 19, 20 dan 23 dan kedudukan kuil ini akan disesuaikan dengan pembangunan.


Mengapa Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah pemindahan Kuil ini? Dan apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk menangani permasalahan ini?

Akibat kegagalan Kerajan BN menangani permasalahan ini, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor terpaksa bertindak segera supaya masalah ini tidak berpanjangan dan mengeruhkan lagi keadaan. Antara inisiatif yang dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini adalah menetapkan stu Garis Panduan berhubung rumah ibadat bukan Islam.

Sehubungan itu, Garis Panduan ini telah mendapat sokongan penganut bukan beragama Islam. Mereka berpandangan, Garis Panduan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor ini merupakan satu pendekatan pro-aktif dan jelas yang dapat menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan rumah-rumah ibadat di negeri Selangor yang sebelum ini agak kabur dan mengelirukan.


Garis Panduan Rumah Ibadat Bukan Islam

Antara Garis Panduan berhubung pembinaan rumah ibadat bukan Islam di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor;
  1. Pembinaan bangunan baru perlu mendapat kelulusan EXCO.
  2. Sebarang aktiviti perobohan hendaklah mendapatkan kelulusan daripada EXCO terlebih dahulu.
  3. Bangunan Keagamaan Bukan Islam sedia ada sebelum 8 Mac 2008 yang telah dikenalpasti untuk dikekalkan tetapi tidak terletak di lokasi yang sesuai hendaklah dipindahkan.

Mengapakah Seksyen 23 dipilih untuk dijadikan tapak baru Kuil ini?
  1. Tapak ini sesuai untuk menampung keperluan kuil bagi penduduk seksyen 19, 20 dan 23.
  2. Lokasi tidak berdekatan dengan kawasan perumahan sedia ada jika dibandingkan dengan kawasan perumahan di seksyen lain.
  3. Kedudukan tapak kuil ini akan disesuaikan dengan pembangunan sekitar.
Walaupun Seksyen 23 merupakan kawasan perumahan, namun lokasi pemindahan kuil ini agak jauh daripada kawasan perumahan tersebut. Jarak antara lokasi pemindahan kuil ini dan kawasan perumahan di Seksyen 23 ini adalah lebih daripada 200 meter.

Oleh itu, Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor juga telah mengambil inisiatif untuk membina sebatang jalan untuk memudahkan para penganut agama Hindu menuju ke kuil tersebut. Langkah ini diambil kerana lokasi tersebut akan dibina adalah di kawasan industri yang agak jauh daripada jalan utama Seksyen 23.


Siapakah dalang disebalik bantahan keterlaluan yang diadakan baru-baru ini?

Demonstrasi membantah pemindahan Kuil tersebut dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 yang diadakan baru-baru ini melibatkan kurang daripada 50 orang yang tidak berpuas hati dengan cadangan Kerajan Pakatan Rakyat Selangor untuk memindahkan Kuil tersebut ke Seksyen 23.

Namun, Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor percaya, keadaan ini berlaku apabila Jawatankuasa Bertindak tersebut telah diberikan maklumat yang tidak tepat oleh sesetengah pihak mengenai proses pemindahan itu. Bantahan berlaku ketika Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dan Pejabat Parlimen Shah Alam telah bersedia dan bersetuju untuk berdialog dengan para penduduk Seksyen 23.

Oleh itu, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor percaya pihak daripada organisasi bukan kerajaan (NGO) iaitu PEWARIS mempunyai agenda politik mereka tersendiri. Kemuncak kepada bantahan penduduk ialah apabila pihak PEWARIS ini telah meletakkan lambang berkaitan agama (kepala lembu) yang dianggap sensitif bagi penganut agama Hindu di hadapan pintu masuk bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor.

Selain itu, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor juga percaya, PEWARIS ketika bantahan itu, telah menghasut para penduduk untuk mengeluarkan kata-kat bersifat perkauman. Bantahan yang didalangi mereka ini dianggap keterlaluan apabila bantahan yang sedemikian dilakukan di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Secara tidak langsung, PEWARIS bukan sahaja tidak menjaga sesnsitiviti agama lain malah telah mencemarkan bulan Ramadhan dengan tindakan keterlaluan mereka itu.

Malah pihak ini jugalah yang mendalangi bantahan para penduduk Seksyen 19 supaya kuil tersebut dipindahkan ke lokasi lain sesegera mungkin. Nyata, PEWARIS telah memainkan peranan sebagai agen provokasi untuk memulakan pertelingkahan kaum dikalangan masyarakat. Jelas, sebagai sebuah kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak akan membenarkan api-api perkauman dimainkan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan politik mereka tersendiri.

Selain itu, terdapat juga ugutan ke atas Jawatankuasa Kuil dan para penganut agama Hindu dengan mengganggu upacara sembahyang mereka, menceroboh kuil dan memakai t-shirt "Unit Jihad". Nyata, ini merupakan provokasi perkauman yang didalangi pihak-pihak yang mempunyai agenda politik dan seterusnya mencemar maksud jihad dalam agama Islam.

Pihak Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memberi kepercayaan sepenuhnya kepada para penduduk Seksyen 23 bahawa mereka tidak akan bertindak membatasi tatasusila dan toleransi kaum masyarakat majmuk. Bantahan tersebut tercemar apabila PEWARIS melanggar adab dan tatasusila masyarakat Selangor khususnya dan Malaysia amnya.


Apakah pendirian Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam perkara ini? Apakah langkah-langkah seterusnya yang akan dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk menyelesaikan permasalahan ini?

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah mengambil langkah-langkah pro-aktif untuk menyelesaikan isu pemindahan kuil ini.

Sebelum keputusan pemindahan kuil dipersetujui, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bertanggungjawab memastikan syarat pemindahan kuil dipenuhi dari segi undang-undang dan dipersetujui Jawatankuasa Kuil dan seterusnya notis kepada penduduk setempat untuk hadir pendengaran awam (public hearing) dikeluarkan. Walau bagaimanapun, mengikut Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor yang diwujudkan oleh Kerajaan BN dahulu, sekiranya tapak kuil yang dicadangkan berada dalam lingkungan jarak 50 meter dari kawasan perumahan atau pemilik kilang, pendengaran awam tidak perlu diadakan.

Namun Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berpandangan sesi dialog antara penduduk dan juga Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, serta PKNS dan MBSA perlu diadakan.

Antara sesi dialog yang telah / akan diadakan adalah:
  1. Perjumpaan dengan Ahli Majlis pada 2 September 2009
  2. Perjumpaan dengan penduduk-penduduk Seksyen 23 pada 5 September 2009
  3. Perjumpaan dengan kepimpinan tempatan dan Orang-orang Besar Daerah
  4. Perjumpaan dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO)
Mengapa Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berpandangan bahawa penyelesaian tersebut sebagai langkah terbaik untuk menangani isu ini?

Masyarakat Malaysia merupakan masyarakat yang berbilang kaum dan agama dan mempunyai latar belakang budaya dan cara hidup yang berbeza. Oleh itu kemajuan dan kemodenan menuntut ilmu dan teknologi kini sepatutnya membawa kepada sikap toleransi dan tolak ansur yang lebih tinggi di kalangan semua lapisan masyarakat di Malaysia.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengambil langkah-langkah pro-aktif dan efisyen untuk memastikan rakyat negeri Selangor khususnya dan Malaysia secara keseluruhannya hidup dalam keadaan harmoni. Sehubungan itu, dalam membuat keputusan tentang isu-isu berkaitan agama dan budaya masyarakat yang berbilang kaum, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan mengambil kira semua aspek isu-isu tersebut daripada setiap sudut dan pandangan.

Dalam isu pemindahan kuil ini, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berpandangan rakyat Selangor haruslah mengambil sikap yang lebih terbuka, bertolak ansur dan rasional dalam menangani isu ini. Setelah mengambil kira lokasi kuil yang berada di tengah-tengah kawasan perumahan Seksyen 19 iaitu satu permasalahan yang agak lama, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berpandangan, Kuil Sri Mariamman itu hendaklah dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai.

Umum telah maklum, Seksyen 23 juga merupakan kawasan perumahan, namun, Kerajaan Pakatan rakyat Selangor telah mengambil inisiatif untuk memindahkan Kuil itu ke tapak lokasi yang lebih sesuai iaitu dengan jarak lebih daripada 200 meter daripada kawasan perumahan.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor percaya bahawa masyarakat Selangor merupakan satu rumpun masyarakat yang boleh menangani permasalahn dan isu-isu masyarakat dengan lebih matang dan rasional. Selain itu, kerjasama dan hormat-menghormati antara masyarakat berbilang kaum dan juga Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor merupakan tunggak kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang yang berbeza dari segi agama, budaya, adat resam dan pemahaman ideologi.

Oleh itu, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berharap isu pemindahan Kuil Sri Mariamman ini dapatlah diselesai dan ditangani dengan cara muafakat dan rasional oleh semua pihak terlibat.


Bilakah penyelesaian dan persetujuan ke atas perkara ini dapat dilakukan?

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan membuat satu keputusan muktamad mengenai isu ini setelah mengambil kira pandangan pihak-pihak yang terlibat melalui sesi-sesi dialog yang telah dan akan diadakan.


Kebebasan bersuara dan memberikan pandangan adalah satu perkara yang perlu diizinkan. Namun, apabila kita lupa kepada adab dan tatasusila yang sewajibnya, ia akan memalukan diri sendiri, menjatuhkan imej agama dan mencalar maruah umat. Garis panduan mengenai hal ini telahpun digariskan oleh Allah swt di dalam Al Qur'an yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu memaki hamun sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan." (Al-An'am:108)


MENOLAK POLITIK PERKAUMAN, MENEGAKKAN KEADILAN UNTUK SEMUA



0 comments:

top