Sambutan Hari Krismas Negeri Selangor

Rawang, 10 Disember - Sambutan Hari Krismas Negeri Selangor telah diadakan di Tesco Rawang. Majlis sambutan yang bermula dari pukul 7.30 malam tersebut telah dirasmikan oleh Dato' Menteri Besar, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dr Xavier Jayakumar serta barisan kepimpinan Exco dan kepimpinan Pakatan Rakyat Kerajaan Negeri Selangor sperti Theresa Kok, Elizabeth Wong, Ronnie Liu, Gan Pei Nei, Charles Santiago, William Leong dan Azmin Ali memeriahkan suasana.

Turut hadir adalah Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Dato' Chua Jui Meng.

Pelbagai persembahan menarik telah diadakan pada malam tersebut. Antara artis terkenal yang mengadakan persembahan adalah Jaclyn Victor.
KUALA LUMPUR 10 DIS : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan kepentingan pendidikan bagi meningkatkan kehidupan rakyat Selangor dan membebaskan diri dari belenggu kemiskinan.

"Kerajaan Negeri prihatin terhadap keperluan mereka kerana kita merasakan pendidikan adalah salah satu dari usaha kerajaan melepaskan masyarakat dari kongkongan kemiskinan. Oleh itu kita sangat berminat untuk meningkatkan pendidikan kepada semua rakyat," jelasnya.

Menurut beliau, dasar itulah yang mendorong pelbagai bantuan dan program dilakukan oleh kerajaan negeri bagi membantu rakyat.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan buku latihan kepada pelajar sekolah di Negeri Selangor bagi sesi persekolahan tahun hadapan.

Sekumpulan lebih 70 pelajar sekolah rendah dan menengah dari keluarga kurang berkemampuan bersama Khalid di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini menerima bantuan buku dan kewangan bagi sesi persekolahan akan datang.
Persatuan Pegawai-pegawai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Negeri Selangor (Selproa) merakam rasa kecewa terhadap tindakan pihak Polis yang menggunakan kekerasan secara keterlaluan semasa menyuraikan perhimpunan rakyat di hadapan Masjid Negara dan stesen KTM pada Ahad 5 Disembar lepas. Selproa juga menyarankan agar pihak polis tidak menjadi 'alat' pihak UMNO / BN untuk menghalang gelombang penentangan rakyat terhadap regim UMNO/BN.  

Disertakan 4 keping foto yang menunjukkan pihak Polis bersikap kasar dan bertindak keterlaluan terhadap Sdra Azmizam Zaman Huri, seorang ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK).   Beliau adalah salah seorang daripada 60 orang yang ditahan pihak Polis pada hari tersebut.  

Sementara itu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menganggap tindakan polis menembak gas pemedih mata dan menghalang peserta demonstrasi ‘Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat’ di Masjid Negara sebagai keterlaluan.
 
Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha’ani Abdullah yang hadir meninjau keadaan di sini melahirkan rasa kesalnya dengan tindakan polis.
SHAH ALAM 6 DIS : Exco Selangor, Dr. Xavier Jayakumar mendakwa adanya usaha menjatuhkan reputasi kerajaan negeri dengan mendakwa kerajaan pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak telus dalam pengagihan biasiswa mahupun pinjaman pendidikan pelajar India di negeri ini.

Menurut Dr Xavier, Pemuda MIC seharusnya membuat kajian terlebih dahulu berhubung jumlah permohonan dan pengagihan biasiswa yang diberikan Yayasan Selangor kepada masyarakat India sebelum membuat sebaran tindakan.

"Ini semua amalan kurang baik untuk menarik media oleh pihak tertentu dalam usaha memburukkan pentadbiran Kerajaan Negeri di mata rakyat," demikian kata Dr Xavier.
Polis menangkap 52 orang, manakala ribuan lagi ditembak dengan gas pemedih mata dan pancutan air berkimia bagi menyuraikan perhimpunan bantah kenaikan harga air anjuran Kerajaan Negeri Selangor.

Bagaimanapun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pemimpin lain Pakatan Rakyat (Pakatan) berjaya menyampaikan memorandum itu kepada wakil Istana Negara sebagaimana yang dirancangkan.

Lebih 15,000 berpakaian baju merah hadir pada perhimpunan itu untuk menyampaikan bantahan mengenai kenaikan harga air yang dicadangkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dengan restu kerajaan persekutuan Umno-Barisan Nasional (BN).

Surat Khabar Versi Tamil Bakal Terbit

SHAH ALAM, 2 Dis - Sejajar dengan hasrat kerajaan negeri merakyatkan informasi kepada segenap lapisan rakyat di Selangor, surat khabar dalam bahasa Tamil bakal diterbitkan menjelang 2011.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, setelah hampir setahun naskah Selangor Kini memuatkan perjalanan program kerajaan negeri dalam bahasa Melayu, kini tiba masanya surat khabar bahasa Tamil dijadikan alat penyebar maklumat bagi masyarakat kaum India pula.

“Exco bersetuju untuk mengeluarkan majalah dalam bahasa Tamil tahun depan dan kita akan pastikan setiap bulan diterbitkan satu naskhah,” katanya ketika berucap sempena sambutan Deepavali untuk kakitangan SUK hari ini.

Tambahnya lagi, naskah lapan halaman itu diberikan secara percuma oleh Pejabat Menteri Besar dan akan menampilkan berita, agenda dan program untuk rakyat Selangor.
SHAH ALAM, 2 Dis – Majlis sambutan Deepavali bukan sekadar meraikan perayaan kaum semata-mata, sebaliknya landasan bagi merapatkan hubungan dengan mewujudkan kemesraan di kalangan kakitangan SUK yang pelbagai kaum.

“Saya rasa sambutan sebegini amat penting untuk kita jalinkan rasa kemesraan sesama kaum, bagi tujuan perpaduan, selain sama-sama membangunkan negeri Selangor, di samping dapat menikmati segala kebaikan daripada pembangunan tersebut,” kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pada majlis makan tengah hari sempena sambutan Deepavali, di ruang legar Bangunan SUK, Shah Alam, tengah hari ini.

Tambahnya lagi, sambutan ini adalah julung-julung kalinya dianjurkan untuk kakitangan SUK dan ini jelas membezakan antara pentadbiran kerajaan terdahulu dengan yang ada sekarang, khususnya di negeri Selangor.

“Julung-julung kalinya pernah diraikan perayaan Deepavali di Pejabat SUK dan ini adalah satu daripada perbezaan, khususnya di Selangor dengan negara lain di dunia kerana di Malaysia kita mampu menyambut lebih lima perayaan bersama,” katanya lagi.
SHAH ALAM 1 DIS: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan melaksanakan pelan tindakan untuk membantu rakyat Selangor yang tidak berkemampuan untuk melunaskan tunggakan bil air, sebaik sahaja ia diberikan kelulusan oleh kerajaan persekutuan untuk mengambil alih pengurusan air negeri ini daripada Syarikat Bekalan Air Selangor atau Syabas dan tiga syarikat konsesi lain.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan rasa kesal atas tindakan terbaru Syabas yang menghukum lebih 800 penghuni pangsapuri Desa Pandan selepas beberapa penduduk terbabit tidak mampu membayar tunggakan mereka.

Tan Sri Khalid menjelaskan rancangan pengambil-alihan aset-aset milik konsesi air digerakkan kerana Kerajaan Negeri menyedari pengusaha air hanya memikirkan keuntungan semata-mata.Bantuan untuk golongan yang tidak mampu menjelaskan tunggakan bil air mereka akan disalur menerusi tabung yang membiayai skim pemberian air percuma 20 meter padu.
top