MB: Ahli Majlis PBT Wajib Turun Padang

SHAH ALAM, 10 APR : Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor diwajibkan untuk terus aktif melakukan program turun padang dan meluangkan masa bersama masyarakat setempat.

Sehubungan itu, ahli Majlis dapat dijadikan penghubung untuk menyampaikan dan menyelesaikan urusan berkaitan penduduk, menerima maklum balas atau aduan terhadap mutu perkhidmatan yang disediakan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian di dalam ucapan perasmian sempena Persidangan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Selangor bagi penggal 2012/2013.

Katanya, ahli-ahli Majlis yang dilantik ini bertujuan untuk mengurangkan kelemahan dalam pentadbiran serta membanteras penyelewengan dan rasuah.

“Ahli-ahli yang dilantik diseru untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kerana ini adalah amanah yang telah diberi kepada kita semua,” ujar Abdul Khalid.

Turut hadir di majlis ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi dan barisan Exco-Exco Selangor iaitu Yaakob Sapari, Ronnie Liu Tian Khiew, Dr Xavier Jayakumar.

Menurut Abdul Khalid, ahli Majlis PBT merupakan platform untuk merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri yang melancarkan zon bersih sejak 2009.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu pula menyatakan ahli-ahli majlis yang dilantik semula mempunyai banyak pengalaman dan pengajaran yang dipelajari untuk digunakan pada masa akan datang.

“Kerajaan Negeri lebih menekankan latar belakang calon-calon ahli majlis sebelum pelantikan dibuat agar penambahbaikan terhadap mutu perkhidmatan ahli majlis PBT dapat ditingkatkan,” jelas Ronnie ketika memberi ucapan.

Sementara itu, bagi penggal 2012/2013 sebanyak 33 peratus ahli Majlis merupakan ahli-ahli yang baru dilantik.

Menurut Ronnie, ahli Majlis akan dinilai dari segi pencapaian mereka sebanyak 30 peratus hingga 50 peratus bagi menentukan pencapaian yang telah berjaya dilaksanakan.

0 comments:

top