Masalah Sampah Selangor Hanya Sementara

SHAH ALAM, 2 APRIL: Masalah kutipan sampah yang digembar-gemburkan oleh media-media arus perdana telah beransur pulih dan berjalan seperti sediakala.

Menurut Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN), Azhar Mohd Ali, masalah yang berlaku sebelum ini hanyalah bersifat sementara sebelum kontraktor terbabit dapat mengenal pasti kawasan kutipan sampah.

“Bila kontraktor baru, dia tak tahu kawasan mana nak kutip atau rumah mana nak kutip. Cuma peringkat awalnya kira ada yang tersesat.

“Tetapi sekarang dah balik semula ke normal, berjalan seperti sediakala,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau lagi, masalah yang berlaku ini bukanlah suatu perkara baru yang berlaku di Selangor tetapi sengaja diperbesarkan oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka.

“Dulu pun memang dah ada masalah tapi sebab sekarang kontraktor baru. Jadi bila baru, dia belum tahu kawasan dan sebagainya.

“Tetapi masalah itu sebulan dua sahajalah. Lepas itu, macam sekarang ini dah tak ada masalah lagilah.

“Memang biasalah politik. Tapi sekarang semua Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkerja keras, berkerja kuat dan kalau ikut graf, aduan memang dah nampak trend penurunanlah,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun menurut Azhar, walaupun perkhidmatan pungutan sampah semakin bertambah baik, kerja-kerja yang dijalankan kontraktor yang dilantik terus dipantau dari masa ke semasa.

“Memanglah masalah pungutan sampah dah selesai sekarang. Tetapi kerja-kerja kontraktor yang dilantik tetap dipantau dari masa ke semasa.

“Mana-mana kontraktor yang bermasalah kita gantung dan digantikan dengan kontraktor ‘back-up’ yang tersedia,” katanya lagi.


Sumber: Selangorku

0 comments:

top