Masih Ramai Tidak Mendaftar Bagi Program MES

KLANG, 21 APR : Kerajaan Selangor menyarankan setiap rakyat di negeri ini yang masih belum berdaftar di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) untuk segera mengambil bahagian bagi membolehkan mereka menikmati hasil negeri.

Saranan itu dinyatakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berkata masih ramai lagi rakyat Selangor yang tidak berdaftar untuk program-program seperti Tabung Warisan Anak Selangor, Jom Shopping dan Khairat Kematian.

Menurut Abdul Khalid, hasil pembangunan yang dikecapi melalui pentadbiran telus pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) sejak 2008 perlu dinikmati dan dirasai oleh setiap masyarakat.

Beliau berkata, setakat ini juga kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM600 juta untuk program kebajikan, di mana wang ini diberi terus kepada rakyat tanpa melalui orang tengah.

“Kerajaan negeri berbelanja banyak kepada rakyat dan kita juga simpan banyak (simpanan tunai) untuk rakyat.

“Ini hak rakyat Selangor yang mesti dijaga sebaiknya. Kita tunjukkan bahawa hasil simpanan negeri ini dikembalikan semula kepada rakyat. Kita tidak berhutang untuk beri kebajikan kepada rakyat.

“Kita harus jaga duit rakyat dengan beramanah supaya tidak disalahgunakan selain berjaga-jaga dalam penggunaan wang rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Program Karnival Rakyat Parlimen Kota Raja di Padang Besar Jalan Hulubalang, Taman Sentosa di sini hari ini.

Karnival yang julung kalinya dianjurkan di Klang itu merupakan kesinambungan daripada Karnival Terima Kasih Rakyat di Kuala Selangor, 25 Mac lalu dan turut disertai MP Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.

Karnival yang berlangsung selama dua hari ini menganjurkan pelbagai aktiviti menarik antaranya, permainan go-kart, pameran keselamatan jalan raya dan pendaftaran program kesihatan.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam ucapannya turut menyelar sikap pilih bulu kerajaan Umno-BN dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat terutama berkaitan isu banjir.

Beliau berkata, tindakan itu sama sekali tidak wajar, malah berbeza daripada pendekatan yang diamalkan kerajaan Selangor dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

“Ada kalanya kerajaan persekutuan mengamalkan sikap piluh bulu terutama kepada negeri-negeri PR. Kadangkala, mereka mengambil masa lama untuk meneliti permohonan bantuan kepada negeri-negeri di bawah pentadbiran PR berbanding negeri-negeri di bawah pemerintahan Umno-BN.

Tetapi di Selangor, rakyat tidak perlu menunggu lama untuk menerima bantuan.

“Saya harap rakyat yang layak segera mengambil sumbangan ini. Polisi kerajaan PR ialah, kita menyegerakan bantuan tanpa perlu menunggu lama. Kalau lambat bayar, maknanya kita lemah dari sudut pentadbiran,” ujarnya.


Sumber: Selangorku

0 comments:

top