
Berikut adalah ucapan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 dalam Dewan Rakyat pada hari Isnin, 14 Jun 2010:
Tuan Yang DiPertua,
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah melancarkan Rancangan Malaysia Ke-10 pada 10 Jun 2010 dengan harapan melonjakkan prestasi ekonomi dan sosial negara kepada tahap yang lebih tinggi serta meyakinkan. Rancangan Malaysia Ke-10 ini diwar-warkan sebagai satu strategi ampuh yang mampu memacu negara untuk mencapai cita-cita Wawasan 2020 serta mengembalikannya ke landasan yang tepat dan memulihkan ekonomi negara yang hampir satu dasarwasa berada dalam keadaan lesu dan laih.
Maka tatkala ghairah menyambut kebijakan tersebut, perlu disingkap dua Rancangan Malaysia sebelumnya. Perbandingan harus dibuat agar penilaian yang jujur mampu diungkapkan. Apa ertinya segala pengumuman yang muluk muluk serta pembentangan kebijakan di Dewan ini sekiranya hasrat serta sasaran Rancangan Malaysia sebelumnya pun belum lagi tertunai.
Tatkala membentangkan belanjawan 1994, pada bulan Oktober 1993, saya mengungkapkan kepentingan buat kita merenung serta menginsafi peringatan Allah SWT dalam Surah Yusuf, agar tujuh tahun subur menjadi persedian buat kita menghadapi sebarang kemungkinan pada tahun berikutnya. Saya mengingatkan bahawa putaran kemakmuran dan kemelesetan kerap datang silih berganti, namun ianya bukanlah tidak dapat dielakkan. Bahkan kerapkali kemakmuran boleh bertukar menjadi kegersangan ekonomi kerana kita alpa, boros dan berfikiran singkat dalam perencanaan.