Kerajaan Selangor hari ini mempamerkan contoh paling jelas yang menyerlahkan pentadbiran telusnya apabila sebuah anak syarikatnya disiasat secara terperinci oleh SELCAT terhadap dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

SELCAT yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat sejurus selepas mengambilalih selangor sebelum ini dituduh sebagai lebih condong kepada hanya menyiasat pemborosan dan penyelewengan yang berlaku ketika pemerintahan kerajaan negeri UMNO Barisan Nasional yang lalu.

Namun hari ini badan itu memperlihatkan ketelusannya dengan memerinci Kumpulan Semesta yang menguruskan kontrak- kontrak pasir di Selangor.

Dan perkara pertama yang ditanya kepada pengurusan Semesta ialah kenapa syarikat itu memberikan bonus sehingga 6 bulan kepada kakitangannya.


Situasi ini jarang sekali dilihat di Malaysia.

Sebuah badan yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat menjalankan soal siasat tegas terhadap sebuah syarikat milik kerajaan negeri yang sama.

Namun keadaan itulah yang dihadapi oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), Abdul Shukor Nagor apabila berdepan dengan panel SELCAT ataupun Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor.

Mungkin atas sifat ketulusan itulah yang meyakinkan dua wakil rakyat UMNO iaitu Ismail Sani dari Dusun Tua dan Sulaiman Abdul Razak Permatang untuk turut menyertai panel SELCAT kali ini setelah memulau beberapa siasatan awam badan itu sebelum ini.

Antara yang diperinci oleh SELCAT hari ini ialah keperluan Semesta memberikan bonus enam bulan kepada kakitangannya antara September 2008 hingga Jun 2009 sedangkan syarikat itu hanya ditubuhkan pada Julai 2008.

" Adakah wajar soalan saya untuk memberi bonus dalam syarikat baru beroperasi, syarikat mula beroperasi pada ogos 2008, kemudian dalam tempoh 4 bulan sahaja sudah diberikan bonus sebanyak 2 bulan, adakah ini wajar?," soal Teng Chang Kim, selaku pengerusi SELCAT.

" Saya rasa wajar, sebab kami sudah mendapat keuntungan. Melihat prestasi syarikat, ini adalah wajar sebab apa, maaf saya ucapkan disini, our industry is very different industry, our staff work very hard and many of them perform very well, so to encourage people, we have to reward them," jawab Shukor.

Namun jawapan itu tidak memuaskan Teng.

" Saya cerita sampai Disember 2008, Syarikat ini memonopoli perusahaan pasir di negeri Selangor. Saya tidak nampak banyak mana kesungguhan yang diperlukan," ujar Teng.

Untuk rekod, syarikat itu berjaya membuat keuntungan sebanyak RM 7 juta pada Jun 2009.

Shukor berkata pemberian bonus itu dibuat secara berperingkat.

Teng turut mempersoalkan kewajaran bonus itu kerana secara purata, seseorang kakitangan hanya layak memperoleh bonus kira-kira 3.5 bulan gaji sepanjang tempoh 9 bulan bekerja.

Selain itu Shukor memberi tahu SELCAT bahawa syarikat sentiasa menjalankan tanggungjawabnya dengan amanah.

Beliau berkata sepanjang tempoh beroperasinya sebanyak 40 laporan polis telah dibuat terhadap Kumpulan Semesta. Ini menunjukkan syarikat tersebut sentiasa berada dalam pengawasan ketat tidak kira dari mana-mana pihak.

Teng bagaimanapun berkata KSSB merupakan syarikat yang diberikan amanah untuk urusan pasir dinegeri Selangor dan ini tidak menghairankan sekiranya 40 laporan polis dibuat terhadapnya.

Teng mengarahkan Shukor hadir ke pendengaran awam SELCAT bagi menyambung keterangannya pada pagi esok.

Sumber: TVSelangor

0 comments:

top