Kerajaan Selangor telah menerima surat tuntutan dari Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berikutan keengganan kerajaan negeri membenarkan syarikat bekalan air di Lembah Klang itu menaikkan tarif air.

Syabas melalui syarikat guaman Messrs Cheang dan Ariff telah menghantar surat bertarikh 12 Februari 2010 menuntut Selangor membayar sejumlah RM339 juta sebagai pampasan kerana enggan membenarkan tarif air dinaikkan sepanjang tahun 2009.Surat tuntutan itu menegaskan kerajaan Selangor perlu membayar pampasan itu dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat dikeluarkan atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

Kerajaan negeri telah menerima nasihat dari panel guaman berhubung perkara itu yang mendapati Syabas tidak layak membuat tuntutan sedemikian kerana tiada berhak dan tiada keperluan.


Sehubungan itu, kerajaan negeri akan menghalang sebarang usaha atau cubaan untuk menaikkan tarif air di Selangor. Kerajaan Selangor tetap dengan pendirian bahawa Syabas telah melanggar beberapa perkara penting dalam perjanjian konsesi dan perkara itu diperakui oleh Jabatan Audit Negara. Pelanggaran syarat oleh Syabas telah menyebabkan kerugian besar kepada rakyat Selangor.

Oleh demikian, kerajaan Selangor sama sekali tidak akan membenarkan syarikat itu menaikkan tarif air seperti yang dipersetujui dalam perjanjian konsesi berkenaan.

Kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan asal untuk menstruktur semula perkhidmatan air di Selangor yang bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan dan lebih penting bagi mengelak kenaikan tarif air.

Bagi merealisasikan cadangan penstrukturan semula itu, kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor telah membuat tawaran yang munasabah untuk pengambilalihan itu supaya Syabas mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk dijadikan suntikan modal dan membuat pelaburan.

Kerajaan negeri berpendapat, tiada sebab untuk Syabas menuntut bayaran pampasan jika syarikat utiliti itu menerima tawaran yang dibuat kerajaan Selangor.

Kerajaan Negeri menegaskan sebarang keputusan untuk menaikkan tarif air perlu mendapat persetujuan tiga pihak iaitu Kerajaan Negeri, Pemegang Konsesi dan Kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, Kerajaan negeri tidak bercadang untuk menaikkan tarif air setakat ini dan akan terus menyimpan hak sebagai pembekal air mentah.

Kerajaan negeri sedia berdepan dengan Syabas di mahkamah jika syarikat itu mahu meneruskan cadangan untuk mengambil tindakan undang-undang. Tindakan kerajaan negeri ini sejajar dan bertepatan dengan agenda "Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang diperjuangkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

0 comments:

top