Aktivis KEADILAN Meninggal Dunia

KOTA RAJA, 21 Feb - Seorang aktivis KEADILAN, P. Manokaran atau lebih dikenali “Mano Sri Muda” meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya kira-kira pukul 2.30 petang Jumaat lalu.

Beliau disahkan mengalami komplikasi jantung sejak menjalani pembedahan injap jantung 13 tahun lalu.

Mendiang Manokaran, 53 tahun meninggalkan seorang isteri dan 4 orang anak.

Menurut anak sulungnya, Kalitarzan, 24, sekitar pukul 1.00 tengahari Mano secara tiba-tiba tidak sedarkan diri selepas ke tandas dan beliau terus dikejarkan dari rumahnya di Taman Sri Muda, Shah Alam ke PPUM di Petaling Jaya.


Semasa dalam perjalanan ke hospital pernafasan bapanya semakin lemah dan beliau dipercayai menghembuskan nafas yang terakhir setiba di pusat perubatan tersebut.

Manokaran bergiat aktif dalam politik sejak era "Semangat Reformasi 1998" dan merupakan pengerak utama KEADILAN di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor.

Mendiang merupakan Ketua Ranting Taman Sri Muda dan juga Ahli Jawatankuasa Cabang Kota Raja.

Beliau juga adalah Setiausaha Kehormat MPP Zon Taman Sri Muda di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam.

Majlis pengkebumian semalam dihadiri oleh sanak saudara dan rakan-rakan seperjuangan termasuk Exco Negeri Selangor merangkap Ketua Cabang Kota Raja Dr Xavier Jayakumar, Ahli Dewan Undangan Negeri Port Dickson M. Ravi serta Ketua AMK Kota Raja, Amizam Zaman Huri.

Menurut Dr Xavier, Mano begitu komited dengan perjuangan parti dan aktif menjalankan kerja kemasyarakatan serta membantu golongan miskin, ibu tunggal dan OKU di kawasan Taman Sri Muda sejak Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Pemergian Manokaran katanya merupakan satu kehilangan bagi perjuangan parti dan masyarakat setempat.

Jenazah beliau telah disempurnakan di tempat pembakaran mayat Seksyen 21, Shah Alam.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

top