Canselor Unisel: Rosmah sibuk sebagai isteri PM




KUALA LUMPUR, 11 Feb: Universiti Industri Selangor (Unisel) memerlukan canselor yang boleh menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pembangunan universiti bukannya sibuk menguruskan program yang lain.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali bersetuju jika isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak dilantik semula sebagai Canselor Unisel apabila tamat tempohnya Jun ini.

"Beliau (Rosmah) pun sudah banyak kerja. Kena tengok program Permata Negara dan sibuk sebagai isteri Perdana Menteri dan sebagainya.

"Jadi mungkin sesuailah Unisel mendapatkan canselor yang baru yang boleh menumpukan kepada pembangunan dan perkembangan Unisel," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang berkata, perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan ianya belum diputuskan secara rasmi.

Perkara itu juga mesti dibincangkan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Unisel yang akan diadakan dalam masa satu hingga dua bulan ini.

"Perkara ini di bawah bidang kuasa Tuanku Sultan sendiri. Jadi baginda Sutan yang buat keputusan. Perkara ini juga akan diputuskan dalam lembaga mesyuarat, jadi kita tidak ada keputusan rasmi lagi. Mesyuarat mungkin dalam sebulan dua lagi," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika bercakap kepada media selepas mesyuarat Exco semalam berkata,  sama ada Rosmah akan dilantik semula atau tidak sebagai canselor universiti milik kerajaan negeri itu, bergantung kepada keputusan lembaga pengarah universiti.

Julai lalu, pelantikan Rosmah sebagai canselor mandapat bantahan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan pelajar universiti berkenaan sendiri.

Satu resolusi tergempar menuntut agar Rosmah dilucutkan dari menjadi Cancelor Unisel telah diluluskan di Dewan Utama Unisel Kampus Bistari Jaya, Batang Berjuntai dalam satu program anjuran bersama Kelab Anwar Ibrahim (AIC) dan Majlis Perwakilan Pelajar Unisel.

Sumber: Harakah Daily

0 comments:

top