Tujuh tahun lalu, iaitu pada tahun 2006, ketika menaikkan harga minyak, kerajaan pernah membuat janji yang sama dengan apa yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan hari ini.

Ketika itu, kerajaan berjanji akan menggunakan penjimatan RM4.3 bilion dari kenaikan harga minyak untuk meningkatkan taraf pengangkutan awam di negara ini.

Namun, ia tidak pernah dilaksanakan. Pengangkutan awam di negara ini tetap pada kadar yang sama di mana rakyat tidak boleh bergantung kepadanya.

Jalan raya di Malaysia penuh dengan kenderaan persendirian dan kesesakan berlaku di mana-mana kerana jalan raya penuh dengan kenderaan.

Hari ini, Putrajaya berjanji akan menggunakan sebahagian hasil daripada potongan subsidi minyak sebagai ganjaran kepada penduduk luar bandar yang membantu mengekalkan kuasa Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lalu, melalui pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), kata Datuk Ahmad Maslan.

Timbalan Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan juga sedang melihat cara membangunkan kawasan berkenaan.

"Lebihan itu akan diagihkan ke banyak kawasan. Kerajaan akan memfokuskan kepada pembangunan kawasan pedalaman," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Datuk Seri Najib Razak Isnin lalu mengumumkan kerajaan akan menjimatkan sejumlah RM3.3 bilion setahun selepas menurangkan subsidi minyak.

Perdana menteri membuat keputusan untuk menaikkan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter, sebagai langkah bagi mengurangkan defisit fiskal.

Pada tahun 2006, kerajaan naikkan harga minyak 30 sen. Hasilnya, kerajaan dapat RM4.3 bilion darinya.

Apabila ditekan rakyat, kerajaan berjanji ia akan digunakan untuk pengangkutan awam.

Dalam Debat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Ahmad Shabery Cheek bertajuk "Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak" pada 15 Julai 2008 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Shabery ditanyakan soalan itu.

Mengikut jawapan di Parlimen sebelum itu, kerajaan baru belanjakan RM834.75 juta untuk prasarana pengangkutan sejak dari tarikh itu.

"Kenapa perkara ini berlaku? Dengan kenaikan kali ini pula, kerajaan boleh jimatkan RM13 bilion. Jika RM4.3 bilion kerajaan terkial-kial membelanjakannya, apa jaminan kerajaan dalam membelanjakan wang dari penjimatan RM13 bilion ini?" tanya penulis selaku wakil Anwar, dalam debat itu kepada Shabery.

Soalan itu dibuat berdasarkan perbandingan yang dibuat dari janji kerajaan ketika menaikkan harga minyak pada tahun 2006 lalu.

Penjimatan sebanyak RM4.3 bilion itu katanya untuk mempertingkatkan prestasi pengangkutan awam di negara ini.

Namun, ketika itu Shabery tidak langsung menjawab soalan itu.

Beliau mengambil sikap menyerang pihak yang bertanya soalan dengan kononnya wartawan itu tidak mengikuti isu semasa dengan baik.

Sumber: TheMalaysianInsider

0 comments:

top