Jangan Kata Kenaikan Tidak Beban Pengguna - Fomca

KUALA LUMPUR: Kesan berganda ekoran kenaikan harga petrol RON95 dan diesel, hari ini memang tidak dapat dielakkan apabila kebanyakan sektor perkhidmatan berhubung kait antara satu sama lain.

Bukan sahaja perkhidmatan berkaitan petrol seperti tambang bas akan meningkat naik, segala perkhidmatan lain turut terkesan dengan kenaikan ini, tegas Timbalan Presiden Fomca, Muhammad Sha'ani Abdullah.

Bercakap kepada Harakahdaily, hari ini Sha'ani berkata industri petroleum dan diesel merupakan satu sumber yang berkait rapat dengan setiap rangkaian perkhidmatan.

"Tentunya kenaikan ini menyebabkan berlakunya rantaian limpahan berganda kepada setiap perkhidmatan apabila kosnya dinaikkan. Ia satu fenomena yang tidak dapat dielakkan," tegas beliau.

Namun, katanya kerajaan tidak boleh menimbulkan kemarahan di kalangan pengguna dengan mengatakan kenaikan ini tidak memberi kesan dan tidak membebankan pengguna.

Alasan tersebut, katanya ibarat memperbodohkan pengguna, sedangkan pengguna yang terpaksa menghadapi bebanan terhadap kos sara hidup yang meningkat.


Sebaliknya, kata Sha'ani kerajaan boleh mewujudkan situasi menang-menang, sama ada kepada pengusaha dan pengguna.

Kerajaan juga, katanya boleh memberi penjimatan yang berterusan dalam urusan tadbir negara, sebelum meminta rakyat melakukan penjimatan.

"Apa guna kita bercakap tiada peruntukan mencukupi untuk biasiswa, tetapi dalam masa sama kita bermewah-mewah mengadakan rumah terbuka. Jika mahu rakyat berjimat, kerajaan perlu tunjukkan contoh terlebih dahulu," tegas beliau.


Sumber: HarakahDaily

0 comments:

top