KLANG, 13 SEPT : Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM5 juta kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk membiayai langkah bersepadu mengatasi banjir.

Timbalan Yang Dipertua MPK, Ehsan Mukri berkata fokus kini adalah menyelesaikan projek-projek tebatan banjir melalui naik taraf sungai, pemulihan saluran perparitan dan pembinaan lebih banyak kolam tadahan.

“MPK menerima peruntukan sebanyak RM5 juta daripada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek ini (tebatan banjir) di mana RM1 juta daripada peruntukan itu diserahkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor untuk kerja-kerja menaik taraf sungai.

“Kita juga bercadang untuk membina kolam tadahan bawah tanah yang pertama di Klang sebagai salah satu langkah untuk mengatasi masalah banjir di sini,” kata semasa sesi Dialog Manifesto Manifesto Kerajaan Negeri bersama rakyat di Dewan Hamzah, malam tadi.

Katanya, setakat ini sebanyak sembilan buah projek sudah dijalankan dengan menumpukan kepada beberapa kawasan, antaranya Jalan Tengku Kelana dan Pandamaran.

Katanya, MPK turut menyediakan saluran khas melalui laman sosial yang memberi akses kepada orang awam untuk mengemukakan sebarang pertanyaan atau aduan sekiranya berlaku kesulitan di kawasan mereka.

“Pimpinan dan Ahli Majlis mesti turun setiap kali musim banjir di sini, malah kami berhubung dengan semua agensi untuk bersepadu menjalankan tugas.

“Kami di MPK menyediakan peruntukan kerja-kerja membersihkan parit dan longkang, tetapi sayangnya masyarakat sering membuang sampah hingga menyebabkan longkang tersumbat.

Sesi dialog dan soal jawab itu memfokuskan kepada empat aspek utama iaitu ekonomi, kesejahteraan, persaudaraan dan kerajaan rakyat.

Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Adun Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dan Ahli Majlis MPK.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top