Selangor Kepada Pusat: Jangan Bakhil Soal Kesihatan

Menurut belanjawan 2009, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukan RM13.6 billion untuk kesihatan. Jumlah ini kelihatan besar jika dibandingkan dengan jumlah RM1 billion pada tahun 1983.

Dengan merujuk kepada laporan akhbar New Straits Times “Healthcare for FREE”, Exco Kesihatan Dr Xavier Jayakumar menggesa Kerajaan Malaysia untuk tidak mengamalkan sikap bakhil dalam isu kesihatan rakyat.

Laporan tersebut melaporkan bahawa belanjawan rawatan kesihatan tahunan untuk kementerian melonjak dari RM1 bilion pada 1983 kepada RM13.7 bilion pada 2009. Namun jumlah pendapatan rawatan kesihatan yang telah dipungut bagaimanapun tidak mencapai lima peratus perbelanjaan tahunan.

"Dengan KDNK yang kini melebihi RM500 bilion Malaysia sekarang hanya membelanjakan disekitar 2% daripada KDNK untuk perkhidmatan kesihatan rakyat Malaysia," jelas Xavier.

Pendirian utama  Kerajaan Negeri adalah Kerajaan Persekutuan tidak boleh melepaskan tanggungjawab mereka untuk menjamin perkhidmatan kesihatan yang adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.



"Kerajaan Negeri Selangor menekan bahawa isu peruntukan Kesihatan bukan isu jumlah perbelanjaan, tetapi sebaliknya adalah isu jumlah peratus dari Keluaran Kasar Dalam Negeri yang di peruntukan untuk Kesihatan," tegas Xavier.

"Menurut WHO atau World Health Organisation, negara-negara yang sedang membangun harus memperuntukkan 6-7% daripada KDNK mereka untuk membekalkan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat mereka," tambah beliau.

Kerajaan Malaysia digesa meningkatkan peruntukan perkhidmatan kesihatan, menyelaraskan gaji pekerja-pekerja sektor kesihatan mengikut kos kehidupan semasa serta memperbaiki kualiti tempat kerja di pusat-pusat rawatan dan kesihatan kerajaan.

"Meninjau semula subsidi yang kini diberikan kepada syarikat insurans dan hospital swasta. Hentikan penswastaan perkhidmatan-perkhidmatan di Hospital Awam," seru Xavier.

Exco Pakatan Rakyat ini turut mempersoalkan bagaimana Kerajaan Persekutuan akan mengutip wang dari rakyat Malaysia bagi menampung kos perkhidmatan kesihatan menyeluruh, apabila hanya 10% daripada rakyat menerima gaji dan membayar Cukai Pendapatan.


Sumber: TVSelangor

0 comments:

top