Menurut Abdul Khalid, peruntukan berkenaan juga bertujuan untuk berdepan situasi liputan berita oleh media arus perdana berkaitan dasar dan program kerajaan negeri yang didapati seringkali tidak seimbang dan bias.

"Liputan yang diberikan selalunya tidak seimbang. Apa yang kedengaran selalunya adalah usaha memburukkan kerajaan negeri dan ini dapat difahami sebagai bermotifkan politik kepartian untuk cuba memberi gambaran kepada rakyat bahawa Pakatan Rakyat tidak mampu mentadbir.

"Bukan sahaja kedudukan perkara yang diberitakan itu tidak memberikan gambaran menyeluruh, jawapan kerajaan negeri juga tidak mendapat liputan wajar.

"Memang agak merunsingkan apabila sebilangan rakyat tidak mengetahui banyak bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri dan ada juga yang mengatakan bahawa sebilangan bantuan itu misalnya dasar air percuma 20 meter padu diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.

"Lebih dahsyat lagi, semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor, ada penduduk yang tidak tahu bahawa kerajaan negeri telah berubah pentadbirannya, dan ada yang mengatakan Tan Sri Muhammad Taib masih lagi Menteri Besar," kata beliau. 

Justeru, Abdul Khalid berkata beliau telah pun berunding berhubung perkara tersebut dengan perbendaharaan negeri yang bersetuju menyalurkan peruntukan itu berdasarkan kepentingannya.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri Selangor  harus menginsafi kelemahan berkaitan dan berazam sedaya upaya tidak menjadikan amanah rakyat sebagai satu keistimewaan khas.

"Maka apa yang perlu kita lakukan di dalam dialog ini ialah menentukan apakah jenis kebajikan rakyat yang perlu diberi keutamaan dan bagaimanakah pertumbuhan dapat dijana untuk menampung permintaan yang tidak terhad ini," katanya.

Abdul Khalid sehubungan itu menjelaskan setakat ini, peruntukan operasi kerajaan negeri adalah sekitar RM1.3 bilion hingga RM1.5 bilion setahun dengan belanja mengurus kira-kira separuh daripada jumlah belanja pembangunan.

"Jumlah yang terhad ini perlulah diuruskan dengan penuh berhemah, tujuan yang jelas serta mendapat pulangan yang optimum," jelas beliau.


Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

top