Belanjawan 2011 Selangor Tumpu 4 Isu Utama

Kerajaan Negeri sedang merumuskan pelan tindakan ekonomi tiga tahun yang akan diumumkan apabila Belanjawan 2011 dibentangkan Oktober tahun ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjangkakan belanjawan Selangor 2011 dalam lingkungan RM1.5 bilion, dan sejumlah RM750 juta pula untuk perbelanjaan operasi.

Tan Sri Khalid berkata belanjawan Selangor akan datang memberi penekanan khusus kepada isu perumahan dan pihak berkuasa tempatan, kemiskinan dan kebajikan rakyat, pelaburan, serta penjanaan pendapatan baru.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan dialog Belanjawan Kerajaan Negeri 2011 bersama 300 pegawai kerajaan negeri, delegasi syarikat milikan kerajaan negeri, perwakilan badan-badan bukan kerajaan, ahli-ahli parlimen dan ahli-ahli dewan undangan negeri hari ini.

Dialog selama dua hari ini adalah untuk mendengar input bagi membantu jemaah Exco Selangor merumuskan belanjawan yang mapan, menyeluruh dan berkesan.

"Tumpuan kita adalah merumuskan belanjawan yang memberi nilai pulangan setara untuk setiap ringgit wang rakyat yang dibelanjakan," tegas Khalid.

Tan Sri Khalid turut menyifatkan majlis dialog ini membuka ruang untuk bermuhasabah dan mengambil iktibar dari belanjawan tahun-tahun sebelum ini.

Sumber: TVSelangor

0 comments:

top