Skim Perladangan Felda Bantu Peneroka


Sungai Tengi - Kerajaan Negeri Berhasrat membantu peneroka Felda yang memerlukan bantuan menerusi program Kerajaan Prihatin.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, bantuan itu berupa usaha baik pulih beberapa rumah usang atau menurunkan peruntukan bagi membina rumah baru.

"Saya amat terkejut melihat kehidupan peneroka Felda di sini yang hidup seperti di zaman yang mundur dan agak ketinggalan."

"Mereka seakan tidak diberi perhatian terutama mengenai aspek kebajikan termasuk ketiadaan pemantauan terhadap keperluan asas mereka," katanya ketika mengadakan lawatan di beberapa rumah di sini.

Lawatan itu turut disertai pegawai-pegawai dari Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor, Lembaga Zakat Selangor, beberapa Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor, Ketua Kampung dan Penghulu Mukim serta beberapa pemimpin masyarakat setempat.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN), Elya Marlini Dahamin.

Sebanyak 12 rumah dilawati dan beliau berkesempatan memberikan barangan keperluan asas kepada penghuni rumah terbabit.

Dr Xavier melahirkan kekesalannya terhadap beberapa perkara berhubung kegagalan pengurusan Felda dalam membantu kehidupan peneroka di kawasan itu.

Menurutnya, pengurusan Felda termasuk agensi-agensi di bawah Kerajaan Persekutuan sewajarnya lebih prihatin terhadap peneroka yang banyak berjasa kepada negara.

Untuk itu katanya, Kerajaan Negeri akan terus berusaha mengadakan siri lawatan menerusi Skim Perladangan Felda di seluruh daerah di negeri ini bagi membantu peneroka ini.

Sumber berita: Sinar Harian, 7 Julai 2009, S24


0 comments:

top