SHAH ALAM, 16 Julai - Kerajaan Selangor memperuntukkan hampir RM12.5 juta bagi melaksanakan pelbagai program menaik taraf kehidupan masyarakat India, di seluruh negeri tahun ini.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, antaranya pemberian dana kewangan kepada PIBG Sekolah Tamil, pemberian kerusi dan meja kepada sekolah-sekolah daif.

Katanya, kerajaan juga akan menyalurkan bantuan pembinaan kelas tambahan sekolah, subsidi tambang bas sekolah, pembinaan tempat ibadat, tadika dan menganjurkan seminar serta latihan keusahawanan.

“Skop kerja di semua peringkat di negeri Selangor dari GLC kepada Majlis Perbandaran. Apa yang kerajaan negeri akan buat untuk beri peluang masyarakat India ambil bahagian dalam skop-skop kerja yang ada di dalam negeri Selangor dan untuk pemuda-pemudi adakan program belia di kalangan masyarakat orang India,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat Organisasi Perniagaan dan NGO bersama EXCO, ADUN, dan Ahli Parlimen India Negeri Selangor di bilik gerakan MTES, pagi tadi.

Kira-kira 30 ahli daripada 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir, antaranya Malaysian Business Council, Malaysian Indian Business Association dan World Tamil Federation.

Beliau berkata, peruntukan yang disediakan ini adalah untuk membebaskan masyarakat india daripada cengkaman kemiskinan, khususnya dalam kawasan ladang.

Di samping itu, Dr Xavier berkata, sebanyak 15 tadika sedang dalam proses pembinaan untuk kemudahan kanak-kanak kaum itu, terutama golongan yang berpendapatan rendah dan tidak mampu menghantar anak-anak mereka ke tadika sebelum ini.

Katanya, keperluan tadika ini penting kerana kira-kira 45 peratus murid-murid yang memasuki tahun satu sekolah jenis Tamil, tidak pernah menerima pendidikan pra sekolah.

“Fokus di negeri Selangor untuk mendirikan beberapa pra sekolah (tadika) khususnya untuk kaum India berpendapatan rendah dan tidak berkemampuan untuk menghantar anak-anak ke tadika.

“Sebab itu pada tahun ini kerajaan negeri Selangor akan mendirikan 15 buah tadika di beberapa tempat di Selangor, dan bukan sahaja dibina di dalam kawasan sekolah, tetapi juga kawasan-kawasan perumahan."

0 comments:

top