Kadar Kemiskinan di Batang Kali Tertinggi

Shah Alam - Paras kemiskinan di Batang Kali mencatatkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 1,522 keluarga mengikut pecahan Dewan Negeri (DUN) dan kaum manakala di Bukit Gasing adalah paling rendah.

Ahli Dewan Negeri (ADUN), Dr Xavier Jayakumar Berkata bacaan bilangan paras kemiskinan tersebut diperoleh daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) yang melaporkan bahawa bilangan keluarga yang berada di bawah paras kemiskinan seluruh negeri adalah sebanyak 13,990 keluarga.

"Secara umum terdapat banyak faktor yang boleh menjadi penyebab kepada kemiskinan iaitu faktor penghijrahan, kematian ketua isi rumah, keadaan ekonomi, kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan, sikap dan mentaliti individu serta faktor lain yang boleh menjadi penyumbang kepada insiden kemiskinan."

"Selain itu, data juga akan berubah apabila garis kemiskinan diubah. Justeru kerajaan negeri sedang memperkemaskan maklumat dan data kemiskinan secara menyeluruh agar dapat memudahkan pemberian bantuan kepada penerima," katanya menjawab pertanyaan daripada ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib, di Persidangan DUN semalam.

Menurutnya, peratusan kemiskinan mengikut kumpulan etnik menunjukkan etnik Melayu mencatatkan peratusan paling tinggi iaitu sebanyak 73 peratus diikuti India, 20.4 peratus, Cina 5.5 peratus dan etnik lain sebanyak 1.1 peratus.


Sumber Berita: Sinar Harian, 14 Julai 2009, S1


0 comments:

top